TAUFIK ABDUL HALIM

Taufik atau dikenali sebagai Dani atau Yuli Mulya Purnomo terlepas daripada hukuman tembak sampai mati di negara berkenaan setelah didapati bersalah terlibat dalam satu cubaan untuk mengebom Pusat Beli-belah Plaza Atrium, Jakarta, pada 1 Ogos 2001.

Dalam kejadian itu, Taufik putus kaki kanannya selepas bom dibawanya meletup sebelum sempat diletakkan di lokasi sasaran.

Sumber memberitahu, Taufik yang juga bekas ahli Kumpulan Militan Malaysia (KMM) akan diterbangkan ke negara ini sebelum diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan.

“Dia akan diletakkan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sementara waktu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, selain terlibat dalam pengeboman sebuah pusat beli-belah, Taufik turut dikaitkan dengan insiden serupa di dua buah gereja di timur bandar raya itu.

Hasil soal siasat, dia mengaku merupakan sebahagian daripada anggota KMM dan pernah aktif dalam kegiatan keganasan di Filipina, Malaysia serta Indonesia.

Nama Taufik dalam KMM muncul selepas kejadian rompakan di Southern Bank Petaling Jaya pada 2001. Rompakan bank itu dipercayai untuk mengirim wang kepada kumpulan pengganas di Ambon dan Jakarta.

Sebelum terbabit dalam kegiatan pengganas, Taufik yang merupakan bekas pelajar cemerlang dan pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bergiat aktif dalam gerakan tabligh bersama keluarganya.

Bagaimanapun, dia dikatakan terjebak dengan kumpulan pengganas selepas dipengaruhi abang iparnya, Zulkifli Abdul Khir atau dikenali sebagai Marwan, yang menjadi individu paling dikehendaki di Asia Tenggara dan diburu sehingga kini.

Dia kemudian dihantar oleh keluarganya ke Pakistan untuk belajar agama dan peluang itu digunakannya untuk melawat kem-kem tentera di Afghanistan untuk belajar menggunakan pistol, raifal dan membuat bom.

Taufik seterusnya pulang ke tanah air dan pergi semula ke Pakistan tetapi ditangkap pihak berkuasa negara tersebut kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan diserahkan kepada PDRM.

Pasukan PDRM kemudian menahannya selama dua bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Difahamkan, dengan kemahirannya membuat bom, serta pengaruh daripada Zulkifli dan dua pemimpin kanan JI iaitu Abu Bakar Bashir dan Hambali, Taufik secara sukarela menyertai kumpulan 10 lelaki ahli KMM pergi ke Ambon dan terlibat dalam perjuangan JI bagi menyelamatkan umat Islam yang ditindas oleh orang Kristian di wilayah itu.

Selepas beberapa ketika berada di Ambon, Taufik dan beberapa ahli KMM lain telah menyelinap ke Jakarta dan melakukan siri serangan sehinggalah ditangkap ketika cuba mengebom Pusat Beli-belah Plaza Atrium.