Tuesday, 11 November 2014
Terkini Prestasi Kewangan Negeri Kelantan Teruk
KOTA BAHARU: Kedudukan dan prestasi kewangan kerajaan negeri Kelantan pada akhir tahun lepas secara keseluruhannya adalah kurang memuaskan berbanding pada 2012, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan itu, keadaan berkenaan disebabkan kedudukan Kumpulan Wang Disatukan telah mengalami penurunan sejumlah RM46.88 juta atau 36.7 peratus iaitu daripada RM127.59 juta pada 2012 kepada RM80.71 juta pada 2013.
Akaun Hasil Disatukan menurun sebanyak RM77.78 juta menjadi defisit RM585.90 juta pada 2013 daripada defisit RM508.13 juta pada 2012.
Akaun Pinjaman Disatukan mencatat baki RM27.70 juta pada 2013 berbanding RM1.87 juta pada 2012, manakala Akaun Amanah Disatukan meningkat RM5.08 juta menjadi RM638.92 juta pada 2013 berbanding RM633.84 juta pada 2012.
Laporan Ketua Audit Negara itu menyebut secara umumnya baki defisit Akaun Hasil Disatukan untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun iaitu dari 2009 hingga 2013, telah ditampung oleh baki Akaun Amanah Disatukan.
Pelaburan kerajaan negeri juga telah berkurangan pada 2013 menjadi RM20.05 juta manakala aliran wang tunai bagi 2013 iaitu jumlah penerimaan berbanding pembayaran wang tunai merekodkan defisit RM43.43 juta berbanding defisit RM9.71 juta pada 2012.
Menurut laporan berkenaan, prestasi kewangan kerajaan negeri bagi 2013 mencatatkan defisit RM77.78 juta berbanding defisit RM69.69 juta bagi tahun sebelumnya (2012).
Prestasi keseluruhan kewangan kerajaan negeri di mana hasil berbanding jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2013 mencatatkan penurunan iaitu daripada defisit RM243.70 juta pada 2012 kepada defisit RM252.56 juta.
Tunggakan bayaran balik pinjaman daripada agensi kerajaan negeri telah meningkat daripada RM147.71 juta pada 2012 kepada RM180.77 juta pada 2013 manakala pelaburan di Penyata Akaun Memorandum mengalami penurunan daripada RM11.55 juta pada 2012 kepada RM9.34 juta tahun 2013.
Seterusnya, tunggakan bayaran balik hutang kepada kerajaan Persekutuan juga turut meningkat daripada RM204.77 juta pada 2012 kepada RM247.16 juta 2013.
Pihak Audit mengesyorkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu, merancang dan mengurus keperluan tunainya dengan lebih cekap supaya dapat memenuhi tuntutan perbelanjaan mengurus dan pembangunannya.
Kerajaan Negeri juga hendaklah berbelanja secara berhemat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan ekonomi Negeri.
Laporan berkenaan juga menyatakan prestasi pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi tahun lepas oleh kerajaan negeri adalah memuaskan di mana pelaksanaan projek pembangunan itu mencapai 99.2 peratus siap daripada jumlah projek yang dirancang manakala jumlah perbelanjaan adalah 66.2 peratus berbanding peruntukan yang diluluskan.
Sejumlah 3,228 projek dirancang untuk tahun lepas dengan 3,203 projek siap sehingga 31 Disember 2013, 20 projek sedang dalam pelaksanaan dan lima projek belum dilaksanakan.
GUAN ENG LUPA DIRI, ASAL-USUL HANYA DARI MANGKUK GANGSA
------------------
* Diterima pagi ini melalui kotak emel.
Monday, 10 November 2014
Apakah maksud jihad pada jalan Allah?
Dalam mendefinisikan jihad, Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan, "Pengerahan tenaga dalam memerangi golongan kafir". Badruddin Al-Aini juga memberikan definisi yang hampir sama iaitu, "Pengerahan tenaga dalam memerangi golongan kafir demi untuk menegakkan kalimah Allah". Antara garis panduan penting dalam jihad ialah jika sesebuah negara mempunyai pemerintah Islam, jihad hendaklah dilakukan di bawah kelolaan atau mandat pemerintah Islam tersebut. Peperangan secara persendirian atau yang dilakukan oleh kelompok-kelompok terpencil yang tidak diberi mandat atau keizinan daripada pemerintah tidak dinamakan sebagai jihad. Ini difahami daripada ayat al-Quran yang menyebut, "Wahai orang-orang yang beriman, Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)?". (Surah al-Taubah, ayat 38).
Justeru jihad fisabilillah hendaklah dijalankan di bawah arahan pemerintah yang membuat seruan dan pengisytiharan jihad. Hadis Abu Hurairah r.a. juga mengisyaratkan kepada perkara ini, iaitu sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, "Pemerintah adalah perisai yang mana di belakangnya peperangan dilancarkan, dan kepadanya dirujuk (pandangan dan tindakan)", (riwayat Bukhari dan Muslim).
Daripada nas-nas di atas, ulama dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah menegaskan bahawa jihad hendaklah dilakukan dengan arahan pemerintah Islam. Antaranya, Imam Ahmad menyatakan, "Dan(hukum) peperangan adalah berterusan bersama-sama dengan para pemerintah sehingga hari kiamat, sama ada pemerintah yang baik atau yang jahat, jihad tidak ditinggalkan".
Segelintir masyarakat Islam pada akhir-akhir ini disebabkan kurang kefahaman dalam hukum-hakam, tersilap dalam memahami istilah jihad sehingga menganggap suatu yang bukan jihad sebagai jihad. Antara kesilapan faham yang berlaku ialah apabila menganggap bahawa penentangan secara fizikal terhadap pemerintah Islam boleh dimasukkan sebagai suatu jihad jika pemerintah tersebut melakukan kezaliman.
Perlu difahami bahawa amar makruf dan nahi mungkar adalah satu kewajipan ke atas setiap orang yang mampu menjalankannya. Tidak terkecuali jika pemerintah atau pemimpin melakukan kesilapan, mereka wajar dan wajib ditegur melalui kaedah-kaedah yang telah digariskan dalam Islam.
Walaupun begitu, amar makruf dan nahi mungkar tidak boleh sampai kepada tahap penentangan secara fizikal terhadap pemerintah yang boleh membawa kepada kemudaratan yang sangat besar jika tidak dikawal. Jika ia dilakukan oleh kelompok-kelompok penentang kerajaan sehingga membawa kepada penentangan bersenjata, maka ia boleh termasuk dalam perbuatan bughah.
Siapa dan apakah Bughah?
Menelusuri keterangan fuqaha dalam mendefinisikan bughah, didapati bahawa terdapat beberapa versi takrifan bughah mengikut perbezaan mazhab yang pelbagai. Namun kesemua definisi bughah adalah merujuk sekitar perbuatan keluar melakukan penentangan terhadap pemerintah yang sah. Sebagai contoh, Ibn ‘Arafah mendefinisikan bughah sebagai, "Mereka yang enggan memberikan ketaatan kepada orang yang sah sebagai pemerintah, (dan ketaatan itu) bukan dalam perkara maksiat, dengan cara memerangi, walaupun ia disebabkan takwil (keraguan)". Dalam mazhab Syafie, Al-Nawawi mendefinisikan bughah sebagai, "Orang yang menyalahi pemerintah bagi kumpulan yang adil, dan keluar daripada ketaatan kepadanya dengan cara enggan melaksanakan kewajipan atau lain-lain dengan syarat-syaratnya".
Walaupun unsur utama dalam menentukan bughah ialah tindakan menentang atau tidak mentaati pemerintah, namun secara praktikalnya istilah bughah tidak boleh dihalakan kepada sesuatu kumpulan kecuali ia mencukupi syarat-syarat untuk dilabel sebagai bughah. Ini kerana istilah bughah merupakan satu istilah yang besar dalam siasah syar'iyyah kerana membawa implikasi yang sangat besar terhadap mereka yang terlibat. Di sana terdapat beberapa ciri-ciri dan syarat untuk melabelkan sesuatu kumpulan sebagai bughah.
Secara ringkas, ciri-ciri dan syarat-syarat tersebut adalah:
a)Kelompok tersebut adalah dari kalangan kaum muslimin.
b)Kelompok tersebut keluar daripada mentaati pemerintah yang sah.
c)Kelompok tersebut mempunyai kekuatan.
d)Kelompok tersebut dipimpin oleh ketua.
e)Kelompok tersebut mempunyai takwilan (kekeliruan/syubhah) dalam tindakannya.
Kaedah menangani golongan bughah
Secara asasnya, kaedah dalam menangani isu bughah jika ia berlaku dalam sesebuah negara ialah sebagaimana difirmankan oleh Allah dalam Al-Quran, "Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil". (Al-Hujurat: 9).
Dalam ayat di atas, Allah Taala mengarahkan supaya dalam menangani kes peperangan antara dua kelompok orang Islam, hendaklah dimulakan dengan perdamaian antara kedua-dua golongan. Jika sekiranya perdamaian tidak membawa hasil dan mereka berterusan dalam memerangi kumpulan Islam lain, maka alternatif seterusnya ialah memerangi kumpulan bughah tersebut. Al-Mawardi mengatakan, "Ayat ini menunjukkan bahawa hendaklah dimulakan dengan sulh (perdamaian) sebelum memerangi mereka".
Para ulama yang membincangkan tentang menangani bughah mengemukakan beberapa kaedah iaitu:
i- Memberi nasihat dan merungkai kekeliruan
Di dalam kitab al-Lubab, "Apabila suatu kumpulan dari kalangan muslimin menguasai suatu negeri, dan keluar daripada ketaatan kepada pemerintah, pemerintah hendaklah menyeru mereka supaya kembali kepada jemaah, dan merungkaikan kekeliruan mereka".
ii- Memberi amaran kepada mereka
Pemerintah hendaklah terlebih dahulu memberi amaran terhadap kumpulan bughah. Sebagaimana Zakaria al-Ansari menyebut, "Dan hendaklah pemerintah kita memulakan secara wajib dengan menghantar orang yang boleh memberi amaran kepada mereka".
iii- Mengisytiharkan peperangan
Jika sekiranya nasihat tidak didengari, dan amaran juga tidak diendahkan, malahan mereka berterusan dengan penentangan terhadap pemerintah dan berterusan menjadi bughah, maka fasa seterusnya ialah mengisytiharkan peperangan terhadap bughah.
Demikian hukuman bagi kelompok bughah yang melakukan penentangan dan keluar daripada mentaati pemerintah. Justeru, adalah amat penting bagi setiap muslim untuk memahami mafhum jihad secara sebenar, dan mengerti perbezaan antara jihad dan bughah. Jangan sampai fadhilat jihad yang dimahukan, tetapi dosa bughah yang tercatat. Jangan sampai mati syahid yang didambakan, tetapi mati Jahiliyyah yang diperoleh. Segala-galanya hendaklah bermula dengan ilmu.
Wallahu A'lam
Sunday, 9 November 2014
#justice4saiful Mesyuarat Tergempar Sekiranya KETUM Bersalah

BUKIT MERTAJAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak memihak kepadanya dalam rayuan beliau bagi sabitan kesalahan liwat, Majlis Presiden PR akan mengadakan mesyuarat tergempar.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu berkata, mesyuarat itu bertujuan menentukan hala tuju pakatan pembangkang.
"Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ada mencadangkan pada hari yang andainya saya dijatuhkan hukuman, maka akan diadakan suatu mesyuarat tergempar untuk kita mara ke depan," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian naik taraf jalan Madrasah An-Nahdoh dan projek tebatan banjir Parlimen Permatang Pauh di sini, hari ini.
Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh menganggap keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya bukan masalah besar bagi pakatan pembangkang kerana mereka sudahpun membincangkan manifesto, agenda dan dasar bersama parti.
"Buat apa nak hukum saya, saya tak salah ...," katanya.
Pada Jumaat lepas, Mahkamah Persekutuan yang habis mendengar rayuan terakhir Anwar bagi sabitan kesalahan liwat dan hukuman penjara lima tahun, menangguhkan keputusannya pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, Mahkamah Persekutuan memerlukan masa untuk meneliti semua hujahan dan nas undang-undang dikemukakan pendakwa raya dan pembelaan sepanjang lapan hari bersidang.
Berikutan itu, beliau yang mempengerusikan panel lima hakim mahkamah berkenaan mengekalkan jaminan RM10,000 yang ditetapkan Mahkamah Rayuan berserta semua syaratnya sehingga keputusan diumumkan.
Dalam rayuan itu, Anwar, 67, memohon kepada Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini setelah mengubah keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar.
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. - Bernama











