Wednesday, 11 March 2015

Isu 1MDB: Audit mungkin panggil PM


Tan Sri Ambrin Buang
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jabatan Audit Negara akan memanggil sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika diperlukan semasa proses pengauditan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata selain itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB juga mungkin dipanggil untuk mendapatkan maklumat bagi membolehkan laporan mengenai syarikat itu dilengkapkan.

Menurutnya, Jabatan Audit Negara telah memulakan proses pengauditan 1MDB sebaik sahaja menerima arahan daripada Najib, minggu lalu.

Katanya, jabatan itu akan memberi keutamaan kepada audit 1MDB supaya ia dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

“Beri kami masa dan biar kami buat kerja dengan senyap kerana kami amat prihatin terhadap kualiti serta ketepatan untuk melaksanakan pengauditan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu secara bebas dan profesional," katanya pada sidang akhbar berhubung pengauditan akaun 1MDB, semalam.

Ambrin turut memberitahu, beliau baru sahaja berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang menyatakan komitmennya untuk memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Audit Negara.

Menurut Ambrin, Jabatan Audit Negara akan memberi fokus kepada semua akaun semasa 1MDB termasuk akaun sebelum ini dan apa sahaja dokumen yang relevan.

Beliau berkata, Jabatan Audit Negara mungkin membawa pegawai audit dari organisasi luar sekiranya diperlukan untuk proses pengauditan ini.

"Setakat ini, saya tidak tahu bila ia akan berakhir dan bila laporan ini dapat dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," katanya apabila ditanya berhubung tempoh yang diperlukan untuk melengkapkan laporan akuan 1MDB.

Minggu lalu, Najib mengarahkan Jabatan Akauntan Negara untuk mengaudit akaun-akaun 1MDB sebelum laporan itu diserahkan untuk diperiksa secara telus oleh PAC.

Tuesday, 10 March 2015

Tuan Ibrahim Tuan Man Tolak Pencalonan Dari Pasma


NASIONAL
1 of 1
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

"Kalau Kesatuan Ulama Sedunia mengangkat beliau (Datuk Seri Hadi Awang) sebagai orang nombor dua di dunia, apakah wajar kita mencadangkan untuk menggantikan beliau?,"

Itu pendapat Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menolak cadangan Pas Kota Bharu yang mencadangkannya bertanding kerusi Presiden Pas pada pemilihan kali ini.

Mengaku pencalonan itu satu satu kejutan tetapi jawatan presiden tidak mudah ditandingi begitu sahaja jika melibatkan ulama.

"Atas pencalonan dari Pas Kota Bharu, saya mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi. Namun saya menolak pencalonan tersebut dan menyeru semua kawasan lain agar terus mendokong Kepimpinan Haji Hadi sebagai presiden parti," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lagi pun, Pesuruhjaya Pas Pahang itu berkata, sejarah kepimpinan PAS jawatan Presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya diera kepimpinan ulama.

"Saya melihat manisnya jika kita yang mendokong kepimpinan ulamak, terus mengekalkan budaya tersebut. 

"Dalam Pas jawatan bukanlah menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat'( berlumba-lumba melakukan kebaikan)," jelasnya lagi.

Tuan Ibrahim seterusnya bimbang apa yang berlaku (cabar presiden) memberi isyarat yang tidak baik kepada masyarakat luar. 

"Walaupun atas nama memenuhi tuntutan demokrasi, namun kedudukan 'syura' lebih mulia dari demokrasi. Kalau syura adalah jalan terbaik, maka sewajarnyalah kepimpinan parti diselesaikan secara syura," katanya.

Akhir kalam, beliau berkata; "Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu,"--MalaysiaGazette

RANG UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN KEGANASAN BUKAN GANTI ISA



Putrajaya, 10 Mac - Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) hanya akan digunakan ke atas tindakan keganasan sahaja dan bukan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata semua pihak terutama pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk hak asasi manusia tidak perlu khuatir kerana kerajaan tidak akan menyalahgunakan akta itu.

"Hanya tindakan keganasan tertakluk di bawah akta berkenaan dan jika ada sebarang perbezaan pendapat politik, ia tidak terangkum dalam undang-undang itu.

"Tidak perlu khuatir kerana ia seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 di mana kuasa eksekutif Menteri Dalam Negeri tidak akan diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei di Malaysia Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa POTA akan disalah guna untuk kepentingan pihak tertentu.

POTA yang digubal khusus untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan IS akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penahanan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad susulun perhimpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur pada petang Sabtu lepas, Ahmad Zahid berkata semua pihak harus menghormati peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Menurutnya, pihak polis terpaksa mengambil tindakan sewajarnya berikutan keengganan penganjur perhimpunan mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah akta itu termasuk memohon permit sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan.

"Saya sering tekankan sistem demokrasi boleh disalurkan melalui platform seperti pentas, di Parlimen atau media sosial dan bukan dengan cara melanggar undang-undang.

"Saya harap ini dapat difahami tetapi lainlah jika mereka ingin mendapatkan liputan media antarabangsa dan portal-portal berita bahawa Malaysia tidak demokratik, tidak aman dan sebagainya," katanya.

Nik Nazmi ditahan selepas hadir memberi keterangan mengenai perhimpunan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pagi Ahad.

Perhimpunan pukul 4 petang Sabtu di ibu negara itu disertai penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melahirkan sokongan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang sedang menjalani hukuman penjara berikutan kesalahan meliwat.

Polis nafi khabar angin bom di KLIA


Polis nafi khabar angin bom di KLIA
Gambar pas pekerja seorang individu lelaki petugas MASKargo yang bernama 'Bom'.
SEPANG - Polis hari ini menjelaskan penyebaran maklumat sejak semalam kononnya terdapat bom berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga hampir mencetuskan rasa panik adalah palsu. 
 
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Asisten komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika ditanya pemberita di sini mengenai penyebaran maklumat berkenaan mengesahkan bahawa tiada sebarang insiden berkaitan bom dilaporkan di kawasan KLIA semalam.
 
"Tidak ada bom dekat KLIA semalam. Perkara itu tidak benar," katanya yang menyedari maklumat berkenaan yang tersebar luas melalui rangkaian media sosial.
 
Menurut maklumat yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp sejak semalam kononnya terdapat sebutir bom berhampiran KLIA dalam radius (lingkungan) 30 kilometer.
 
Namun gambar yang disertakan bersama maklumat tersebut menunjukkan gambar pas pekerja seorang individu lelaki petugas MASKargo yang bernama 'Bom'.
 
Terdahulu pada majlis hari ini, seorang pelukis terkenal China, Chen Shijie menyampaikan surat penghargaan kepada Mohd Iqbal atas kejayaan menemui semula enam lukisan beliau yang bernilai RM1.5 juta pada Disember lepas. - Bernama

RAFIZI KANTOI DEDAHKAN DIA HANYA TOLAK RM98.35 CUKAI PENDAPATAN SEBULAN.


Keghairahan Rafizi Ramli mencabar pihak lawan mengisytiharkan harta membongkar satu rahsia Ahli Parlimen yang rakyat tidak tahu.

Cuba perhatikan slip gaji Rafizi sebagai Ahli Parlimen yang didedahkannya dalam blognya di sini :
http://rafiziramli.com/wp-content/uploads/2015/03/Final-Statutory-Declaration-Rafizi-Ramli-Assets-10032015.pdf



Elaun Ahli Parlimen sebanyak RM13,108.59 tetapi Potongan Cukai Bulanan (PCB) hanya RM98.35 sebulan!

Wah! Punya la sikit si Rafizi ni tolak cukai pendapatan sebulan. Rasanya graduan universiti baru kerja pun tolak cukai lebih banyak dari Rafizi.

Agak-agak berapa la Rafizi bayar cukai pendapatan setahun. Kalau bayar kurang dari RM2000 setahun, baik tak payah jaja duit rakyat hasil cukai sebab kau pun bayar ciput je.

Lain kali kalau nak guna modal politik "hasil duit rakyat" eloklah bayar cukai tu lebih sikit.

Lepas ni Rafizi boleh dedahkan pulak berapa dia bayar cukai pendapatan setahun. Ye la....dok jaja harta kau berjuta-juta.....pendapatan kau berbelas ribu takkan menyumbang kepada rakyat melalui cukai pendapatan banyak tu je sebulan.

Patutlah kerajaan kena buat GST sebab orang gaji berbelas ribu hanya tolak cukai pendapatan RM98.35 sebulan. Nak kata si Rafizi ni bayar zakat, takde pulak dia isytihar yang dia bayar zakat atau buat potongan gaji.

Mungkin lepas ni LHDN boleh siasat perkara ini.

*Kadang-kadang disebalik kepandaian seseorang, wujud kepandiran dirinya bila nak tunjuk pandai. Ada sebab kenapa slip gaji pekerja sama ada sektor Kerajaan atau swasta adalah sulit. Fikir-fikirkan.

Gempar!! MH370: Paket kertas tisu ada logo MAS ditemui


  • MH370: Paket kertas tisu ada logo MAS ditemui
 1 / 1 
CANBERRA - AUSTRALIA. Genap setahun kehilangan MH370 pada Ahad, penemuan bungkusan seperti kertas tisu tertera logo MAS oleh sepasang suami isteri di pantai Barat Australia diharap dapat merungkai misteri pesawat malang itu.

Memetik laporan Mail Online, kertas tisu itu sedang dianalisis bagi mengesahkan sekiranya ia dari pesawat malang berkenaan.

Nine News turut melaporkan penemuan bungkusan kecil itu yang masih belum dibuka di pantai Cervantes, Julai lalu oleh pasangan suami isteri terbabit.

Paket tertulis Malaysia Airlines itu dihantar ke Canberra untuk diuji dan disahkan.

Pasangan berkenaan dipetik sebagai berkata, "ia tidak terbuka, memang sesuatu yang luar biasa."

"Jika ia terbuka dan dijumpai terdampar di situ maka ia adalah sesuatu yang berbeza sepenuhnya," kata pasangan itu.

Sementara itu, The Daily Telegraph melaporkan pakar percaya kemungkinan paket kecil bergerak jauh tanpa mengalami sebarang kerosakan.

Penemuan terbaharu di pantai Barat Australia itu boleh memberikan petunjuk bagi merungkai misteri pesawat MH370 yang hilang bersama 239 orang di dalamnya pada 8 Mac 2014.

Terkini Proses audit 1MDB telah dimulakan

 
 
  • NajibNajib Tun Razak
 1 / 1 
PUTRAJAYA - Jabatan Audit Negara telah memulakan proses pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebaik menerima arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata jabatan itu akan memberi keutamaan dalam melaksanakan pengauditan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu secara bebas dan profesional.
  
"Tentunya jabatan akan beri keutamaan dalam hal ini dan kami harap kami boleh melakukannya dalam suasana aman dan sejahtera," katanya dalam sidang media mengenai pengauditan 1MDB di sini hari ini.

Ambrin berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda baru-baru ini yang telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama penuh dengan jabatan itu dalam proses pengauditan.

[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Najib saman Ahli Parlimen DAP]