SEPANG - Polis hari ini menjelaskan penyebaran maklumat sejak semalam kononnya terdapat bom berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga hampir mencetuskan rasa panik adalah palsu. 
 
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Asisten komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika ditanya pemberita di sini mengenai penyebaran maklumat berkenaan mengesahkan bahawa tiada sebarang insiden berkaitan bom dilaporkan di kawasan KLIA semalam.
 
"Tidak ada bom dekat KLIA semalam. Perkara itu tidak benar," katanya yang menyedari maklumat berkenaan yang tersebar luas melalui rangkaian media sosial.
 
Menurut maklumat yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp sejak semalam kononnya terdapat sebutir bom berhampiran KLIA dalam radius (lingkungan) 30 kilometer.
 
Namun gambar yang disertakan bersama maklumat tersebut menunjukkan gambar pas pekerja seorang individu lelaki petugas MASKargo yang bernama 'Bom'.
 
Terdahulu pada majlis hari ini, seorang pelukis terkenal China, Chen Shijie menyampaikan surat penghargaan kepada Mohd Iqbal atas kejayaan menemui semula enam lukisan beliau yang bernilai RM1.5 juta pada Disember lepas. - Bernama