KOTA BHARU - Pas, dalam misi mempertahankan kerusi Dun Chempaka, dilihat tidak lagi bersungguh-sungguh berkempen selepas BN memutuskan tidak bertanding kerana memberi fokus kepada bantuan banjir di Kelantan.
    
Calon Pas pada PRK Dun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad ketika ditemui pemberita mengakui kempen yang dijalankan parti itu perlahan dan jentera parti masih kurang bekerja.
    
Ahmad Fathan berkata, ia berikutan tiada persaingan daripada 'musuh ketat' mereka iaitu BN. 
    
"Kalau tengok suasana berkempen masih lagi sejuk, jentera (Pas) sedikit perlahan (bekerja)," katanya ketika ditemui di sebuah rumah penduduk yang mengadakan kenduri di Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
  
Bagaimanapun beliau berkata Pas tetap mahukan majoriti kawasan berkenaan meningkat.
 
"Kita seboleh-bolehnya nak kekal ataupun tingkatkan majoriti yang pernah diperoleh Allahyarham Nik Abdul Aziz (Nik Mat) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas.
    
"Ia akan dijadikan kayu ukur kepada Pas untuk menghadapi PRU14 nanti walaupun dalam masa yang sama, kita jangka peratusan keluar mengundi akan menurun," katanya.
  
BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.
    
PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.
    
PRK Dun Chempaka pada 22 Mac ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Pas dan empat calon bebas. - Bernama