Tuesday 17 March 2015

Hospital Baharu Kuala Krai Penuhi Keperluan Rakyat Kelantan Selatan - Mustapa


KUALA KRAI, 17 Mac (Bernama) -- Hospital baharu di Kuala Krai bernilai RM286 juta yang sedang dalam pembinaan di sini, bakal menampung keperluan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat yang semakin meningkat di kawasan Kelantan Selatan.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hospital itu yang berkonsepkan hospital dalam taman di kawasan seluas 40 hektar, dijangka siap pembinaanya pada Mei 2017.

Kawasan Kelantan Selatan melibatkan jajahan Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli.

"Hospital berkenaan yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan moden, akan mempunyai 268 buah katil berbanding 170 buah katil di Hospital Kuala Krai sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan hospital berkenaan di sini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pembinaan hospital itu adalah janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat semasa melawat Kuala Krai dua tahun lepas.

Mustapa berkata pembinaan hospital berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di jajahan Kuala Krai dan rakyat turut mendapat faedah hasil pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata selama ini pesakit dari kawasan Kelantan Selatan yang memerlukan rawatan lanjut dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Baharu sehingga berlaku kesesakan di kedua-dua hospital terbabit.

"Dengan wujudnya hospital Kuala Krai yang baharu ini, ia dapat mengatasi kesesakan pesakit di HRPZII dan HUSM," katanya.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abd Rahman.

0 comments:

Post a Comment