SERANGAN berterusan pimpinan DAP terhadap Pas di atas isu hudud menimbulkan tanda tanya di kalangan umat Islam mengenai apakah yang tersirat di sebalik tekanan ini.

Pas telahpun menjelaskan dan mengikuti apa yang diingini dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Pas telah memperjuangkan hudud sebelum wujudnya Barisan Alternatif mahupun PR. Pas yang ada hari ini adalah Pas yang sama yang ingin melihat Islam didaulatkan.

Pembentangan semula enakman ini pada 18 Mac di Dun Kelantan hanyalah 'pindaan' bagi menambah kebaikan dan menjelaskan kekeliruan. Hal ini telah dijelaskan dalam mesyuarat PR.

Selepas mesyuarat, DAP memperbesarkan isu ini kononnya Pas hendak membentangkan sesuatu yang baru dan sebab itulah mereka membantah.

Soalan pertama: Apakah kalau tak ada sebarang pindaan, apakah DAP akan sokong hudud?

DAP juga mendakwa bahawa kerjasama antara kerajaan Kelantan di bawah Pas dan Kerajaan Pusat di bawah BN adalah petanda 'adanya usaha penyatuan Pas dan Umno.’

Pelbagai penjelasan telah dibuat, bahawa pelaksanaan enakmen ini memerlukan sokongan kerajaan Pusat kerana polis, lokap, penjara dan sebagainya masih di bawah kawalan kerajaan Pusat.

Soalan kedua: Apakah kalau Kerajaan Pusat tidak bagi kerjasama, maka DAP akan sokong hudud?

Kemudian, ada yang mencadangkan utamakan penyelesaian isu banjir daripada hudud. Bantuan banjir dan proses pembangunan semula mangsa banjir terus berjalan dan tidak terhenti dengan pembentangan enakmen Jenayah Syariah ini.  

Bagaimana pembentangan enakmen ini boleh mengganggu usaha pembangunan semula banjir? Logik soalan ini kena diajukan pada mereka yang bertanya.

Soalan ketiga: Apakah kalau selesai isu banjir, maka DAP akan sokong hudud?

Sebenarnya, rakyat Malaysia, termasuklah Pas dah tahu DAP ini memang menentang perlaksanaan hudud. Mesej sudah sampai ke rakyat. Pas pun tidak harapkan sokongan DAP. Pas cuba melaksanakan hudud melalui jalan demokrasi, dan itupun kini ditentang oleh parti yang dikatakan menjunjung demokrasi.

Soalan keempat: Oleh itu, apa lagi yang DAP mahu? Apakah DAP mahu PR berpecah dan Umno-BN terus berkuasa?

Kalau BN tidak berpecah kerana isu 1MDB, serangan Dr Mahathir dan isu rasuah yang menyelubungi Umno, apakah wajar PR pecah kerana hudud?

Pas tidak mahu PR berpecah. Pas cuma harapkan penjenayah beragama Islam untuk diadili oleh hukum jenayah Islam. Salahkah ini? Oleh itu, jangan salahkan Pas kalau PR pecah.