PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini diberitahu hari ini bahawa rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff yang dituduh menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006, adalah tidak kompeten.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Nik Sapeia, memberitahu panel tiga anggota mahkamah itu, beliau memaklumkan kepada pihak pendakwaan dan mahkamah lewat semalam bahawa beliau membantah rayuan itu.

Katanya mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan kerana rayuan tersebut tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah-mahkamah Perundangan 1964 (CJA).
    
Muhammad Shafee berkata, oleh kerana perkara itu timbul daripada Mahkamah Majistret, maka pihak pendakwaan perlu memohon kebenaran Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan rayuan dan mereka memperoleh kebenaran itu.
    
Bagaimanapun, kata beliau, persoalan undang-undang yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk diputuskan mahkamah itu, tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Seksyen 50 (2) CJA kerana persoalan itu melibatkan undang-undang dan fakta kes.
   
Muhammad Shafee berkata, Seksyen 50 (2) menyebut bahawa rayuan itu perlu hanya terhad pada persoalan undang-undang yang timbul semasa rayuan.
    
Timbalan pendakwa raya Lailawati Ali berkata beliau hanya menerima notis berkenaan pagi ini dan memerlukan masa untuk menjawab hujah Muhammad Shafee.
    
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohtaruddin Baki, yang bersidang bersama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam, menetapkan 18 Mac sebagai tarikh untuk Lailawati menjawab hujah itu.
    
Pada 29 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan Nik Sapeia membuat rayuan dan membebaskannya daripada tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya terhadap Dr Mahathir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, Kelantan, pada kira-kira pukul 11 pagi 28 Julai 2006.
    
Mahkamah itu mengubah keputusan Mahkamah Majistret pada 14 Januari 2010 dan mendapati Nik Sapeia, 61, bersalah kerana melakukan kesalahan berkenaan dan menjatuhi hukuman penjara enam bulan terhadapnya. - Bernama