Thursday 19 March 2015

Gantung semua kerjasama Pulau Pinang dengan PAS - Jeff Ooi


Gantung semua kerjasama Pulau Pinang dengan PAS - Jeff OoiJEFF OOI: Gantung semua kerjasama Pulau Pinang dengan PAS - Gambar fail 
JELUTONG: Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk menggantung semua bentuk kerjasama dengan PAS di semua peringkat berkuatkuasa serta merta.

Tegasnya, ia merupakan tanda bantahan terhadap keputusan PAS melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

"Saya menyeru supaya semua anggota Pakatan Rakyat mengambil tindakan tegas mulai hari ini dan ia harus bermula dengan Pulau Pinang.

"Kita perlu menggantung semua bentuk kerjasama dengan PAS di semua peringkat bermula dari peringkat kerajaan negeri termasuk perwakilan PAS di mana-mana agensi kerajaan negeri.

"Kita juga perlu menggantung wakil PAS dalam Badan Perhubungan antara parti dan di peringkat JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) negeri, menggantung perkhidmatan ahli majlis dalam semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kalau terdapat pegawai seranta bagi mana-mana ahli exco, kesemua harus dibekukan buat sementara," katanya.

Ooi berkata demikian semasa sidang media di pejabatnya di Jelutong.

Dia mengulas keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015.

Menurut laporan, kesemua 44 anggota dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.

Kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong rang undang-undang itu.

Turut menyokong, kesemua 31 anggota dewan daripada PAS dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-Guchil) Mohamad Roslan Puteh.

Pindaan yang dibentang dan dibahaskan di dalam DUN Kelantan semalam, diluluskan hari ini.

Pindaan kanun itu menyentuh kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir dan ia hanya terpakai untuk orang islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

Dalam pada itu, Ooi turut menyifatkan perbuatan PAS itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, sambil berkata pucuk pimpinan dap perlu membuat keputusan mutlak berhubung tindakan pas mengkhianati pakatan pembangkang dalam mesyuarat yang akan berlangsung Isnin depan.

Katanya sebagai satu prinsip, DAP juga tidak boleh dilihat campur tangan dalam pemilihan pimpinan PAS pada muktamar tahunan PAS ke-61 yang akan berlangsung di Selangor, Jun ini.

0 comments:

Post a Comment