BLOG chedet.cc yang tidak boleh diakses petang tadi sudah boleh dikunjungi malam ini.

Tinjauan Sinar Online ke blog tersebut sebentar tadi mendapati ia sudah boleh diakses dan artikel 'kontroversi' yang dikatakan menjadi 'punca' blog itu digantung masih dipaparkan.

Terdahulu memetik laporan sebuah portal, pengendali blog chedet.cc, Sufi Yusof berkata, blog berkenaan tidak boleh diakses siang tadi kerana sedang dalam proses pemulihan semula.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang melakukan ‘pembersihan yang diperlukan pada sistem komputer pelayan’.

“Kami mengesan aktiviti trafik yang luar biasa pada blog ini dan kini sedang melakukan apa yang patut untuk membetulkannya. Sejurus segalanya selesai, kami berharap blog ini akan kembali sedia dikunjungi seperti sediia kala,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sufi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara tersebut.

“Kami akan menguruskan hal ini sendiri terlebih dahulu,” ujarnya.

SKMM dilaporkan berkata, pihaknya tiada sebarang kaitan dengan blog yang disekat itu.

"Setakat yang diketahui, kita tidak mempunyai apa-apa kaitan dengannya. Saya cadangkan supaya anda periksa dengan pemilik blog tentang mengapa laman web itu tidak boleh diakses," ujar Pengarah Kanan Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman.

Blog Dr Mahathir itu tidak dapat diakses kira-kira jam 2.30 petang tadi selepas memuatnaik artikel berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Posting terbaru itu lantang mempertikaikan tentang hutang berbillion ringgit yang dibelanjakan oleh 1MDB.

"1MDB bukan buat hutang biasa seperti kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta sahaja.

"Walaupun 1MDB bukan kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak RM1 juta ringgit," tulis Dr Mahathir.