KOTA BHARU – Kecekapan seorang penggembala memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera di kandang kambingnya menyelamatkan haiwan peliharaan itu dari dicuri penjenayah.
Malah, penjual sayur yang cuba mencuri kambingnya pada 20 Januari lalu itu dihukum penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh, Sudin Awang Lah, 34, didakwa cuba mencuri kambing milik Muhamad Safri Ramli, 34, di Kampung Paloh Pintu Geng di sini, pada jam 4.56 pagi.
Dalam kejadian lalu itu, pengadu yang sedang tidur terdengar bunyi penggera yang diletakkan di bahagian belakang pintu kandang kambingnya.
Pengadu kemudian membuat pemeriksaan melalui CCTV sebelum mendapati tertuduh sedang mencungkil kandang itu. Dia segera menghubungi orang kampung dan berjaya menahan tertuduh bersama parang yang dibawa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu.
“Tertuduh pernah dihukum kerana kesalahan memiliki dadah dan menceroboh selain pernah dikenakan perintah sekatan,” katanya. Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.
Wednesday, 30 January 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment