• Rumah ibu bapa Ahmad Affendi di Kampung Berangan, Tumpat. Gambar kecil: Jaafar Chik. Rumah ibu bapa Ahmad Affendi di Kampung Berangan, Tumpat. Gambar kecil: Jaafar Chik.
1 / 1
TUMPAT -  “Saya hanya tahu arwah pergi berdakwah,” kata Jaafar Chik, 67, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan, di sini, semalam.

Jaafar ialah bapa saudara Ahmad Affendi Abdull Manaff, 27, salah seorang rakyat Malaysia yang terbunuh di Syria, yang dikaitkan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Jaafar berkata, dia mengetahui kematian anak saudaranya di Syria selepas seorang kenalannya menunjukkan gambar arwah di dalam laman sosial.

Menurutnya, berita kematian arwah itu mengejutkannya sekeluarga, lebih-lebih lagi apabila anak saudaranya itu dikaitkan dengan kumpulan pengganas IS.

“Arwah seorang yang pendiam dan kurang bercakap dengan saya. Perubahan ketaranya apabila dia keluar dari sekolah pondok dan sering berdakwah ke luar negara termasuk ke Thailand dan India.

“Penampilannya juga berubah apabila sering mengenakan jubah dan ketika di rumah, dia sering ke masjid solat berjemaah,” katanya dan memberitahu arwah mengikuti pengajian pondok selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sebuah sekolah menengah di Tumpat.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan ibu bapa Ahmad Affendi di Kampung Berangan, gagal.