• Kelkon Sdn Bhd pemaju lebuh raya  
  • Ahmad (tiga, kanan) menyerahkan surat setuju tender kepada Wan Ismail, semalam. Foto oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH

KOTA BHARU- Harapan rakyat Kelantan semakin cerah untuk menikmati kemudahan lebuh raya setelah Kerajaan negeri  semalam mengumumkan  pelantikan Syarikat Kelkon Sdn Bhd sebagai pemaju projek sepanjang 30.5 kilometer (Machang-Kuala Krai) terbabit.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata,  anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) ini dilantik dengan usaha sama Afiqah Wira Sdn Bhd.

Menurutnya, harga tender projek terbabit sekarang meningkat kepada RM854. 729 juta berbanding nilai asal iaitu RM570 juta memandangkan ia mengambil kira kos perbelanjaan dalam tempoh beberapa tahun.

“Saya bersyukur hari ini kita dapat merasmikan dan mengisytiharkan perlaksanaan lebuh raya  Machang-Kuala Krai sepanjang 30.5 kilometer terbabit dengan perancangan kerja mula pada Jun ini adalah melibatkan tanah kerajaan di Bukit Bakar seluas 81.82 hektar,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Kesyukuran Merakyatkan, Membangun Bersama Islam di Kelantan Trade Centre sempena genap setahun pentadbiran beliau di Kelantan yang diadakan di Kelantan Trade Centre semalam.

Hadir sama,  Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad, Pengarah Majlis Kesyukuran, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan bekas menteri besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahmad berkata, lebuh raya tanpa tol itu dijangka siap pada tahun 2017 dan kerajaan negeri akan membuat pembayaran secara tertangguh dengan bayaran kali pertama bernilai RM50 juta kepada syarikat berkenaan.

Semalam beliau turut menyerahkan surat setuju tender kepada Pengerusi Kelkon Sdn Bhd, Wan Ismail Wan Jusoh.

Tambahnya, beliau juga terharu dengan sokongan semua pihak dalam usaha untuk merealisasikan pembinaan lebuh raya rakyat terbabit apabila sehingga sekarang jumlah dana yang berjaya dikumpulkan berjumlah kira-kira RM 3 juta.

Mengulas mengenai isu hudud yang masih belum mencapai kesepakatan parti komponen PR, Ahmad berkata,  penjelasan terperinci akan diteruskan supaya mereka memahami hasrat Kelantan ini.

“Wakil untuk bentang rang undang-undang persendirian juga masih belum dipilih. Kita sedang membuat persiapan, sampai masa kita akan tetapkan dan ia akan ditentukan oleh pucuk pimpinan,” katanya.