AHMAD genap setahun jadi MB. |
Tidak ada cabaran besar buatnya sepanjang sedekad lalu. Cabarannya kecil saja umpama rumput melintasi jalan, dapat di langkahi dengan selesa dan selamat. Semua cabaran tidak sampai melelah dan menyebabkan beliau kena urut dada dengan minyak cap kapak, lantaran kesempukan.
Perubahan hubungan diplomatik kerajaan Kelantan dengan kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinannya selepas mengambil alih daripada Tokguru Nik Aziz jelas. Ahmad memperkenalkan pendekatan berbaik-baik dengan pusat. Perubahan ini memberi kesan baik, bila mana media massa kroni Umno yang sering menyerang kerajaan Kelantan bertubi-tubi telah mula berkurangan.
Media massa mengambil sikap ceasefire. Media massa tidak begitu menggerami lagi kerajaan Kelantan. Bahkan diberi lapuran yang positif dan melunakkan mata memandang. Strategi Ahmad untuk mengendurkan serangan musuh berhasil.
Kejayaan itu menyebabkan Ahmad membina ruang nafas yang panjang. Ini satu daripada langkah dan kelebihan yang ada kepada Ahmad. Selain itu, beliau juga mengelak dari terjebak dengan kontroversi. Tindakan populis diketepikan, dan lebih menumpukan kepada kerja sebagai menteri besar. Bagaimana pun sesetengah daripada tindakan diambil dilihat kontras dengan apa dilakukan Nik Aziz sebelum ini. Tetapi itu mungkin satu ukuran yang adil.
Kerana terlalu ralik membina hubungan diplomatik dengan Pusat, menyebabkan Ahmad seakan terabai untuk memberi fokus kepada beberapa aspek lain yang juga penting diberikan tumpuan. Seperti membentuk sebuah pentadbiran yang cekap, bersistemetik dan efektif. Ini menyebabkan beberapa kelemahan dan kecacatan di zaman Nik Aziz dahulu masih wujud atau belum diperbaiki.
Yang ketara penjagaan alam sekitar, kebersihan dan kecekapan pegawai kerajaan dan mengurangkan perbelanjaan tidak mustahak dan berbentuk entertainment.
Urusan pejabat seperti dipejabat tanah masih ditahap lama. Kemudahan peralatan moden seperti komputer dan program seperti tidak berfungsi bila ia tidak digunakan seoptimanya. Kelemahan ini menyebabkan kerja-kerja pemerosesan masih lambat dan terpaksa menunggu masa yang lama. Permohonan pertukaran hak milik, kelulusan permohonan tanah dan pecah lot sebagainya masih tidak berubah. Sedangkan pembangunan ini boleh dilaksanakan tanpa memerlukan pindaan perlembagaan negara atau pun mendapat sokongan dari Umno.
Begitu juga dengan pembaziran wang kerajaan yang digunakan untuk mengadakan siri lawatan sambil belajar keluar negeri oleh pihak PBT atau pun jabatan dan agensi tertentu, perlu diawasi dan dihadkan. Boleh dikatakan setiap tahun semua PBT mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara yang memerlukan perbelanjaan yang banyak. Walaupun wang itu dikhaskan untuk tujuan itu, tetapi ia boleh dijimatkan dan dibelanjakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak.
Selain kelemahan itu, kejayaan Ahmad ialah dapat mengurangkan perbalahan didalam parti kerana beliau tidak begitu "ikut erel" dengan cocokan pihak-pihak tertentu. Husam Musa yang cuba diangkat menjadi pengkritik dalaman oleh sesetengah pihak, tidak dipedulikan Ahmad. Beliau masih bersangka baik dengan Husam. Ahmad tidak melihat Husam sebagai musuh dalaman. Walaupun ada sogokan kepadanya agar terus nyahkan Husam tetapi tidak diikutkan?
Ahmad masih waras melihat siapa dia Husam Musa. Malam esok, sempena berlangsungnya majlis kesyukuran genap setahun beliau jadi MB, khabarnya Husam diundang untuk memberi ucapan dan sama-sama merai ulang tahun pentadbirannya. Perkembangan ini sesuatu yang positif dan menunjukkan Ahmad mula mahu menjadikan dirinya sebagai seorang abang yang adil dan saksama.
Barang kali sebagai seorang bekas Exco yang kreatif dan bijak dalam tatacara perundingan mungkin Husam boleh memberi sedikit idea berhubung kontroversi isu hudud yang melanda sekarang ini. Tentu Ahmad memerlukan pandangan berbeza daripada Husam untuk mendapat solusi terbaik. Jadi diharap Husam tidak akan menghampakan harapan umum untuk melihatnya mengulas mengenai hudud.
Dalam suasana kini adalah tidak bijak kalau Husam atau mana-mana pihak menegangkan keadaan dengan tanpa memberi komitmen. Dan pihak-pihak lain juga yang berterusan berusaha untuk mengasingkan Husam, perlulah insaf dan sedar. Hentikan perasaan curiga dan bermusuh sesama sendiri kerana ia sama sekali tidak menguntungkan Pas.
Alangkah baiknya kalau Ahmad dapat mengumumkan malam Selasa ini projek pembinaan stadium di Bukit Merbau yang digagaskan Husam diteruskan, dengan meminta atau memberi tanggungjawab itu kepadanya selepas urusan membina lebuh raya sudah pun beres. Ahmad dijangka mengumumkan nama syarikat yang berjaya mendapat tander membina lebuh raya rakyat dari Machang ke Kuala Krai sempena majlis kesyukuran genap setahun beliau menjadi MB.
Semoga majlis kesyukuran malam besok berjalan lancar dan ia menjadi permulaan ke arah landasan baru kerajaan dan Pas Kelantan. Sudah tentu apa diharapkan, semua pemimpin veteran juga akan hadir sama sebagai pemberian semangat. Yang paling baik juga selepas ini tidak ada lagi kritikan sesama sendiri sehingga membawa kepada fitnah. Ingatlah siapa di antara kumpulan di dalam Pas mereka adalah dari rumpun yang sama.
Kepada Ahmad Yaakub diucapkan selamat semoga beliau dapat mengemudikan kerajaan dengan baik dan selamat tiba ke destinasinya. Jangan ralat hudud akan dilaksanakan 2015. [wm.kl.2:17 pm 05/05/14]
dipetik dari msomelayu.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment