MO, KUALA LUMPUR, 19/10/2015 – Kerajaan kini dalam proses memperkukuh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi barisan yang lebih efisyen dalam menyelaras dasar serta strategi keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut dibuat berdasarkan kepada keperluan semasa dalam berhadapan dengan ancaman keselamatan yang semakin berkembang.
“Adalah menjadi hasrat dan harapan kerajaan agar langkah-langkah transformasi MKN dapat dilaksanakan dengan sokongan padu yang tidak berbelah-bahagi oleh semua pihak.
“Ini penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan dipertahankan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan pertanyaan lisan dari Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) di sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Noor Ehsanuddin dalam persidangan hari ini meminta Najib menyatakan transformasi menyeluruh yang dibuat terhadap MKN.
Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, pihak kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah pengukuhan melibatkan MKN.
“Ini termasuk menggubal Dasar Keselamatan Negara, meningkatkan keupayaan modal insan melalui penempatan pegawai berkemahiran dengan gred jawatan yang sesuai.
“Pihak kerajaan juga melakukan kajian semula mengenai fungsi dsn peranan MKN sebagai agensi yang melaksanakan dasar yang diputuskan,” katanya lagi.
Menurutnya, ia termasuk keperluan untuk mewujudkan suatu akta baharu bagi mewujudkan MKN secara perundangan sepertimana yang dilakukan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, India, Jepun dan Thailand.
“Kerajaan juga akan meyemak semula arahan-arahan MKN dan peraturan tetap operasi MKN bagi memastikan arahan tersebut masih relevan dan boleh digunapakai sesuai dengan persekitaran semasa,” ujarnya lagi.
Sumber : SINAR
0 comments:
Post a Comment