Saturday 7 April 2012

Kelantan dicabar dedah status tanah rizab


DIPETIK DARI SINAR HARIAN
KOTA BHARU – Sidang Meja Bulat Masa Depan Rakyat dan Negeri Kelantan Menjelang 2020 mendesak Kerajaan Negeri Kelantan mendedahkan secara terperinci mengenai tanah rizab Melayu yang dipajakkan kepada syarikat bukan Melayu.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mempengerusikan sidang itu berkata, suara 22 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini jelas menunjukkan rasa tidak percaya ke atas Pas untuk memajukan Kelantan menjelang 2020.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri perlu mendedahkan maklumat terperinci mengenai projek-projek ladang di atas tanah rizab Melayu kerana rakyat perlu memahaminya secara mendalam.
“Kita tahu status tanah rizab Melayu tidak berubah dan tidak akan bertukar milik walaupun dipajakkan untuk tempoh antara 60 hingga 90 tahun, rakyat nak tahu syarikat mana yang mendapat pajakan dan apa kriteria yang membolehkan mereka mendapat peluang tersebut.
“Kita boleh terima sekiranya projek yang dibangunkan industri yang mana orang kita tidak mempunyai kepakaran tapi projek yang dibangunkan hanyalah penanaman kelapa sawit atau getah,” katanya.
Ibrahim berkata, rakyat juga perlu mengetahui dengan jelas mengenai pembangunan Lembah Sireh yang dikatakan premium tanahnya lebih rendah.
“Saya cabar Pas mengadakan pameran mengenai kedua-dua projek ini bagi membolehkan rakyat mengetahuinya dengan lebih jelas kerana apa yang kita lakukan ini bukan atas dasar benci kepada Pas, kita hanya mahu bangunkan Kelantan untuk kebaikan rakyat,” katanya.
Rakyat Kelantan katanya, diracuni pemikiran oleh Pas selama lebih 20 tahun sedangkan kemajuan negeri ini jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
“NGO perlu memainkan peranan untuk membuat anjakan dan kerajaan Pas perlu ditukar sekiranya benar-benar mahu melihat Kelantan maju seiring negeri lain,” katanya.
Antara NGO yang menghantar wakil untuk Sidang Meja Bulat yang julung kali diadakan itu ialah Persatuan Bekas Tentera Negeri Kelantan, Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kelantan, Koperasi Guru Melayu Kelantan Berhad, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Persatuan Veteran Umno, Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Tukar), Persatuan Seni Suara Desa Kelantan (Pesuasa) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
Ibrahim berkata, Kelantan memiliki kelebihan berbanding negeri lain termasuk aset penting untuk menarik kedatangan pelancong atau pelabur.
“Kita ada banyak tempat menarik untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, kaya dengan kesenian dan kebudayaan yang mana semuanya boleh menjamin peningkatan ekonomi tapi malangnya, pimpinan yang ada tidak cukup kreatif untuk memanfaatkan semua itu,” katanya

0 comments:

Post a Comment