Tuesday 10 April 2012

Projek Perumahan Agropolitan untuk generasi kedua Kesedar


Sinar Harian

Projek_perumahan_Agropolitan_Rantau_Manis
GUA MUSANG - Generasi kedua Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar akan diberi keutamaan untuk menduduki rumah yang siap dibina di tapak Agropolitan di Rantai Manis.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, projek di bawah Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan 320 unit itu bersesuaian untuk penempatan generasi kedua yang terpilih nanti.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengatasi masalah generasi kedua Kesedar yang kini terpaksa tinggal bersesak bersama ibu bapa walaupun telah berumah tangga dan mempunyai anak ramai.

“Kita akan pastikan projek perumahan itu untuk penempatan generasi kedua Kesedar supaya mereka mendapat pembelaan dan mempunyai peluang pekerjaan yang disediakan Agropolitan tersebut.

“Memang kita menerima banyak rungutan mengenai perkara itu dan saya telah merujuk kepada pihak terbabit untuk mengatasi perkara itu,” katanya pada majlis perjumpaan dengan jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Paloh, kelmarin.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, generasi kedua Kesedar memang ramai dan belum mampu untuk menempatkan secara keseluruhan generasi itu dalam tempoh yang singkat.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan banyak lagi rumah akan di bina di kawasan tersebut dan diharapkan mereka yang belum terpilih supaya bersabar menunggu untuk peringkat seterusnya.

Beliau berkata, mengikut cadangan asalnya projek Agropolitan itu membabitkan hampir 1,000 peserta dan kini hanya baru 320 unit rumah dibina sebelum ditambah secara berperingkat selepas ini.

“Penempatan peserta di situ mempunyai jamin masa depan berikutan banyak peluang pekerjaan disediakan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka sepanjang masa,” katanya.

0 comments:

Post a Comment