Monday 2 April 2012

‘Menteri Besar budak pondok’


HABSAH ISMAIL
1 April 2012
‘Menteri Besar budak pondok’
KOTA BHARU- Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa bangga kerana pendidikan beliau berasal dari sekolah pondok, sekali gus membuktikan sekolah pondok mampu melahirkan pemimpin.
Beliau turut mengimbas semula pendidikan awalnya di beberapa pondok di Kelantan dan Jetih, Terengganu, termasuk di Jamek Merbau (kini Maahad Muhammadi), seterusnya di Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Deoband Darul Ulum, India.
“Saya bangga jadi Menteri Besar, budak pondok yang pernah dihina ‘budak pondok, budak agama, pandai buat gapo (apa).
“Saya hanya pandai baca talkin, solat hajat dan baca doa, tetapi dilantik jadi Menteri Besar,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Maahad Muhammadi di Jalan Merbau, di sini.
Nik Abdul Aziz berkata, selain menjadi pemimpin dari sekolah pondok, beliau juga gemar menggunakan bahasa ‘balaghah’ (iaitu bukan bahasa persuratan).
“Bahasa ini digunakan sebab terikut-ikut dengan ajaran tok guru dan ketika belajar pondok di Jetih, saya turut belajar asas bahasa Inggeris,” katanya.
Dari segi pengalaman dan penglibatan politik (menjadi wakil rakyat), beliau mahu menjalankan hukuman hudud dikenakan kepada pesalah semasa timbul isu pada pilihan raya kecil di Terengganu.
Selain itu, beliau mampu menangani masalah riba di Kelantan, misalnya pajak gadai ditukar kepada ar-Rahnu.
“Sejak jadi Menteri Besar, saya turut menukar beberapa nama tempat dan lokasi termasuk PCB, dahulu Pantai Cinta Berahi, sekarang jadi Pantai Cahaya Bulan, Bazar Buluh Kubu kepada Pasar Siti Khadijah (nama isteri Nabi).
“Saya juga minta Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar raya Islam (MPKB-BRI) letak nama jalan di Pengkalan Chepa tukar kepada nama ‘jalan Tok Guru’, tetapi dipertikaikan,” katanya.
Katanya, tok guru itu bukan bermaksud Tok Guru Nik Aziz, tok guru boleh membawa maksud ‘Tok Selehong’, Tok Kenali atau tok guru pondok.
Pada majlis berkenaan, beliau turut dilantik sebagai Tokoh Jubli Intan Maahad Muhammadi Kota Bharu.

0 comments:

Post a Comment