Monday 18 June 2012

Islam Larang Rusuhan Jalanan

KUALA LUMPUR: Islam melarang umatnya menyertai rusuhan jalanan yang menimbulkan huru-hara dan membawa kemudaratan kepada masyarakat.

Mantan Timbalan Syeikhul Azhar, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour, berkata walaupun perhimpunan aman dibenarkan bagi menyuarakan pandangan kepada pemimpin, umat Islam berhak menegur kepemimpinan dengan cara baik dan bukan menerusi rusuhan jalanan yang membawa kesan buruk kepada masyarakat.

“Pada prinsipnya, Islam tidak menghalang berhimpun menyatakan hasrat kepada pemimpin tetapi perhimpunan itu jangan menimbulkan huru-hara dalam masyarakat yang menyebabkan orang rasa kesan buruk (mudarat) daripadanya,” katanya pada Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin anjuran Generasi BESTARI dan portal MyKMU.net di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan peserta seminar ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, ‘Fiqh Mentaati Pemimpin’ dikendalikan moderator Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid.

Syeikh Mahmoud Abdel Ghany berkata, penganjuran perhimpunan aman jika perlu diadakan, sepatutnya tidak menceroboh hak orang lain.

“Guna slogan yang baik tanpa menyerang kepentingan awam dan tidak menceroboh hak orang tidak berdosa. Perhimpunan aman disokong tanpa menyakiti masyarakat atau menimbulkan masalah kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, dalam pembentangannya, tokoh ulama itu berkata, pemimpin Islam yang baik dan membawa negara ke arah pembangunan dan kemajuan perlu disokong.

“Disebabkan kerajaan sudah melakukan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat, mereka sepatutnya tidak timbulkan sesuatu perkara yang boleh halang perkembangan pembangunan kerana boleh menjadi fitnah kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya saranan penangguhan haji untuk pilihan raya, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany berkata, seseorang itu wajib menunaikan haji jika mampu.

“Perjalanan pilihan raya tidak akan terhalang kerana hanya sejumlah kecil saja yang pergi haji. Tidak perlu tangguh atas alasan menyertai pilihan raya dan orang Islam perlu membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Mengulas pelaksanaan hudud, beliau berkata, ia perlu dibuat mengikut kesesuaian dalam negara terbabit selepas semua pihak menerimanya dengan kefahaman mendalam.

Pembentang dari Arab Saudi, Dr Ahmad Hamad Al Jilani ketika mengulas isu sama berkata, pelaksanaan hudud bagi mendapatkan keredaan Allah dan bukan dibuat untuk kepentingan lain, termasuk untuk memenangi pilihan raya.

0 comments:

Post a Comment