Apakah perlunya gambar Nik Aziz di letakkan sebesar-besar papan tanda ini? Adakah ia untuk menyatakan mengenai projek tersebut atau berkempen?
Zaman kanak-kanak dahulu, pernah kita didengarkan kisah Abu Nawas agar dijadikan iktibar supaya tidak menganggap bahawa orang lain lebih bodoh daripada kita.
Mengimbau kembali cerita Abu Nawas, seorang yang yang kaya, mempunyai harta yang banyak dan merasakan dirinya amat bijak berbanding orang lain. Abu Nawas dikatakan mempunyai harta sehingga tidak dapat tidur malam kerana bimbangkan hartanya dicuri orang. Maka, suatu hari Abu Nawas telah menggali lubang dan menanam kesemua wangnya dan konon-kononnya bagi memperbodohkan orang ramai, Abu Nawas meletakkan papan tanda “DI SINI TIADA WANG”. Tapi akhirnya kesemua wang tersebut dicuri kerana tindakannya yang bodoh dan menarik minat pencuri yang seolah-olah memberitahu bahawa disitu terdapatnya wang.
Kerajaan Pas Kelantan juga cuba menjadi seperti Abu Nawas. Cuba menanam kepercayaan orang ramai daripada apa yang ada kepada tiada dan apa yang tiada kepada ada.
Pas juga menggunakan papan tanda sebagaimana Abu Nawas. Papan tanda besar yang diletakkan di lokasi-lokasi strategik, yang mudah dilihat oleh rakyat dan orang ramai yang datang ke Kelantan. Papan tanda yang mempunyai gambar besar Nik Aziz, dipenuhi dengan gambar anak-anak pokok gaharu dan gambar kecil DYMM Raja Perempuan Kelantan sedang menyampaikan anak pokok kepada seseorang berserta tulisan besar “KELANTAN KORIDOR DEPU”.
Begitu besar cita-cita Nik Aziz untuk menjadikan Kelantan sebagai sebuah koridor pohon-pohon depu atau gaharu.
Murni cita-cita sedemikian kerana ia boleh dijadikan sumber rezeki kepada rakyat Kelantan. Malah ia juga boleh menjadikan Kelantan sebagai negeri pengeluar utama bahan pewangi. Tetapi untuk menjayakannya, memerlukan usaha keras dan peruntukan kewangan yang besar.
Namun, pembentangan belanjawan 2008 pada sidang dewan negeri yang lepas benar-benar akan mengecewakan rakyat yang dipengaruhi dengan papan tanda Kelantan Koridor Depu tersebut.
Belanjawan yang pertama kali diberi nama “BELANJAWAN RAKYAT” setelah 17 tahun memerintah juga jelas membuktikan bahawa inilah tahun pertama kerajaan Pas Kelantan menyediakan belanjawan untuk rakyat. Maka, tahun-tahun sebelum ini pula kerajaan Pas Kelantan menyediakan belanjawan untuk siapa? Wakil-wakil rakyat dan exco Pas serta kroni-kroninya?
Belanjawan tersebut hanya boleh dijadikan halwa telinga, sedap didengar tetapi tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat. Ia sekadar untuk menanam harapan kosong.
Jika salah tulisan penulis, fikir dan persoalkan kenapa tiada peruntukan langsung untuk menjayakan projek gergasi kerajaan negeri Kelantan yang ingin menjadikan Kelantan sebagai pengeluar utama pohon depu?
Kalau inilah yang dikatakan projek kerajaan Pas Kelantan yang akan menyaingi projek koridor kerajaan Pusat seperti Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER), maka ia hanyalah sekadar mimpi Mat Jenin atau projek Abu Nawas.
Sebuah projek yang dihebohkan akan memberi sumber ekonomi terbesar di Kelantan melalui papan tanda gergasi di merata tempat, rupa-rupanya hanyalah tin kosong yang biasa dilakukan oleh pemimpin kerajaan Pas Kelantan!
Tuesday, 19 June 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment