Tuesday, 5 June 2012

Penyewa kecewa diarah keluar secara mengejut

Penyewa kecewa diarah keluar secara mengejut

5 Jun 2012
penyewa
Penyewa dan pekerja di bangunan tersebut menunjukkan salinan laporan polis
yang dibuat berhubung arahan pengosongan premis itu.
KOTA BHARU - Seramai 12 pengusaha automotif di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, kecewa kerana mereka mendakwa diarah mengosongkan premis dalam tempoh 14 hari tanpa sebarang perbincangan.

Kesemua mereka menjalankan perniagaan di bangunan Darul Naim Autocity sekitar empat dan lima tahun lalu, namun kini berada dalam kebingungan apabila dikatakan dianiaya oleh pihak tertentu yang cuba menabur pasir dalam periuk nasi mereka.

Wakil penyewa yang juga Pengurus Motorsport Performance World, Mohd Nawi Tahir terkejut apabila menerima notis 17 Mei lalu dipercayai anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang mengarahkan berpindah dengan alasan penambahbaikan bangunan dan diserahkan kepada pihak ketiga.

“Kami menerima notis menerusi anak syarikat tersebut dan sebuah syarikat swasta yang difahamkan bakal mengambil alih pengurusan serta perlaksanaan sewa beli bangunan berkenaan,” katanya kepada media ketika ditemui di bangunan tersebut semalam.

Katanya, berdasarkan tempoh yang diberikan itu sepatutnya semua penyewa termasuk 30 pekerja perlu mengosongkan bangunan pada 31 Mei lalu kerana pada 1 Jun syarikat baru akan mengambil alih untuk pengubahsuaian bangunan.

“Selagi tidak menerima perintah mahkamah kami tidak akan berganjak kerana bangunan tersebut adalah milik Kerajaan Negeri dan perjanjian untuk menduduki tempat ini antara kami dengan mereka.

“Alasan yang kami terima adalah untuk membangunkan kawasan ini dari segi pasaran dan prasarana sedangkan pelan perancangan tidak diberikan secara jelas,” katanya.

Mohd Nawi yang lima tahun berniaga di situ memberitahu, pihaknya terkilan dengan situasi tersebut memandangkan mereka adalah peniaga bumiputera yang sewajarnya dibela oleh Kerajaan Negeri.

Mohd Nawi yang turut membaiki kenderaan Sultan Kelantan dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, dia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM50,000 untuk urusan mengosongkan premis termasuk bayaran pendahuluan menyewa tapak baru.

Sehubungan itu, Mohd Nawi bersama beberapa penyewa yang lain membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada dua hari lalu untuk melindungi barangan mereka supaya tidak diganggu sesuka hati oleh pihak terbabit.

Mohd Nawi berkata, pihaknya juga sebulat suara akan memfailkan injunksi di mahkamah dalam tempoh terdekat untuk menjaga hak mereka supaya tidak dianiaya dan juga mengharapkan campur tangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikannya.

Sementara itu, pemilik perniagaan Md Noor Kusyen, Mohd Noor Mahmud dan Pemilik MMS Dianojet Performance, Mohd Amer Muzanee Mohd Yaman menyifatkan tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana dilakukan tanpa perbincangan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, pihaknya akan membuat semakan segera.

0 comments:

Post a Comment