Thursday 29 March 2012

Kerajaan Negeri perlu telus

Kerajaan Negeri perlu telus
DIPETIK DARI SINAR HARIAN
Nik Sapeia (kiri) bersalaman dengan ibu bapa yang hadir
KOTA BHARU- Kerajaan Negeri perlu lebih telus dalam merungkai isu membabitkan tanah rizab Melayu di negeri ini yang dipajak kepada syarikat bumiputera.

Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata, tindakan itu penting bagi mengelak spekulasi negatif terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Pas ini.

“Ketelusan Kerajaan Negeri dalam menjelaskan isu ini penting agar rakyat tidak merasakan diri mereka dipinggirkan dan menganggap kerajaan yang ada ini zalim.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat, Kerajaan Negeri lebih arif tentang tindakan sewajarnya dilakukan demi menjaga kebajikan rakyatnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumbuh di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar arus perdana beberapa hari lalu yang mendakwa tanah rizab Melayu di negeri ini dipajakkan kepada syarikat bumiputera dalam tempoh agak lama.

Nik Sapeia berkata, penjelasan secara lebih terperinci berhubung tanah rizab Melayu perlu agr tidak timbul tanda tanya dan tanggapan negatif rakyat terhadap perkara itu.

“Tindakan berdiam diri akan menyebabkan rakyat merasa teraniaya dengan tindakan Kerajaan Negeri yang dilihat ghairah mengejar pembangunan walaupun tanpa perancangan teliti,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah badan pentadbir di negeri ini, kerajaan negeri pimpinan Pas boleh melakukan apa sahaja untuk membangunkan kawasan ini, namun perlu menitik beratkan aspek ketelusan.

“Sebagai contoh, jika ada pemindaan berhubung akta tanah kerajaan, ia perlu dinyatakan kepada rakyat, walaupun pindaan itu dilakukan untuk satu jangka masa pendek atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan projek Ladang Rakyat yang perlu dijelaskan di mana lokasi dan sejah mana perkembangannya dan bukan hanya memberikan hasil.

0 comments:

Post a Comment