BAZLAN-BAHARUDDIN
GUA MUSANG - Pas Kelantan tidak perlu menangguk di air keruh berhubung kemelut kepimpinan Umno Bahagian Gua Musang kerana Ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tidak mungkin menyertai parti pembangkang itu.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin berkata, Ku Li bukan daripada pemimpin yang bermoral rendah, sebaliknya dikagumi rakyat berikutan sejarah perjuangannya masih kebal dalam Umno.


Berikutan itu, beliau menganggap pemimpin Pas yang menawarkan laluan untuk Ku Li menyertai parti berkenaan membuang masa dan menambah kebencian rakyat Kelantan terhadap perjuangan parti tersebut.


”Pas sebenarnya rasa tergugat bagi mengekalkan kemenangang di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) tidak lama lagi dan dan ingin bergantung tuah kepada Ku Li.


”Saya percaya Ku Li tidak akan menerima tawaran Pas itu kerana sejak dahulu sampai sekarang pemimpin tersebut berazam untuk terus berjuang dalam Umno yang banyak berjasa kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan kesedian Pas membuka perbicangan bagi membuka laluan kepada Ku Li untuk memberi tiket bertanding parti itu itu sekiranya tidak dicalon Barisan Nasional (BN) pada PRU13.


Bazlan juga Bendahari Pemuda Umno Kelantan berkata, Ku Li sebagai pemimpin yang disegani masih diterima baik pengundi Gua Musang dan tidak perlu digugurkan sebagai calon BN bagi mengekalkan bertanding kerusi tersebut.


Beliau berkata, pemimpin pusat belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu dan yakin Ku Li masih kekal untuk bertanding kerusi berkenaan walaupun mendapat tentangan pihak tertentu.


”Orang lain jangan campur tangan dalam urusan Umno bahagian kerana Ku Li ada kepakaran dan kewibaan sendiri bagi menyelesaikan kemelut yang dibangkitkan itu,” katanya.