Wednesday, 2 April 2014

Akhirnya Pas Setuju Laksana Hudud

Kenyataan Media

Yang Amat Berhormat Ustaz Dato Ahmad bin Yakob,
Menteri Besar Kelantan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Berikutan keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada hari ini, 2 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 2 April 2014M, saya ingin mengumumkan beberapa pendirian yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud. Ianya adalah seperti berikut :

1. Kerajaan Kelantan menyambut baik kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada mana-mana kerajaan negeri termasuklah Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang hudud sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini di Dewan Rakyat.

2. Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen yang terdekat oleh salah seorang Ahli Parlimen Bukan Kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana sebahagian besar dari kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code), begitu juga agensi-agensi pelaksana seperti polis dan penjara.

3. Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Shariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Shariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukkan dalam Enakmen Hudud.

4. Kerajaan Negeri Kelantan sedia memberi jaminan bahawa sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen, Insha-Allah Enakman Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015.

Sekian, salam hormat.

(Ustaz Dato Ahmad bin Yakob)
Menteri Besar Kelantan.

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 2 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 2 April 2014M

1 comments:

  1. Alhamdulillah, PAS akan menjadi pemangkin untuk Hudud. Harapan negeri Kelantan akan melaksanakan hukum Hudud & Qisas merangkumi semua kaum.Jika sudi, jadikan Negara Brunei & Aceh sebagai contoh dan mengambil nasihat dan pandangan dari Negara Arab Saudi. Kepada anak negeri Kelantan, sudah tiba masanya anda semua memberi sokongan yang padu dengan kembali ke negeri asal untuk memajukan ekonomi negeri Kelantan. Jangan lari ke negeri lain dengan alasan untuk mencari rezeki. Semua negeri boleh maju, jika rakyat negeri tersebut berusaha segigih mungkin dan bersama membantu kerajaan negeri tersebut.Selamat Maju Jaya, Semoga Diberkati Allah SWT.

    ReplyDelete