Wednesday 2 April 2014

SIASATAN MENDAPATI PENUMPANG MH370 "BERSIH" DARIPADA EMPAT ELEMEN


Kuala Lumpur, 2 April - Polis mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi, tetapi masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata siasatan terhadap 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 itu mendapati mereka "bebas" daripada empat elemen itu.
"Mereka didapati bersih daripada empat (elemen) itu. Ia (adalah) menurut prosedur (siasatan) kami sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan kualiti pasukan polis di sini hari ini.
Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berdasarkan empat elemen itu terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
Khalid berkata setakat ini polis telah merekodkan kenyataan daripada lebih 170 individu berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu dan menurutnya polis akan merekodkan lebih banyak kenyataan.
Khalid berkata polis tidak akan mendedahkan sebarang maklumat hasil siasatan insiden itu kerana ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
"Maafkan saya, terdapat perkara yang kami tidak boleh dedahkan kepada anda; bukan saya tidak mahu dedahkannya kepada anda tetapi kami tidak boleh berbuat demikian. Kerana ia adalah penyiasatan jenayah, sedang berjalan; kami belum memuktamadkan segalanya dan kami masih menunggu laporan daripada pakar di luar negara dan dalam negara.”
"Anda perlu faham. Saya fikir kami amat konsisten (tentang siasatan). Siapa tahu, mungkin akan ada pendakwaan kemudiannya. Jadi, ini akan menjejaskan kes pendakwa raya sekiranya kami mula mendedahkan hasil penyiasatan kami," katanya.
- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment