Sunday 13 May 2012

Dataran kereta api ‘sesak’


Wartawan Sinar Harian
13 Mei 2012
Dataran kereta api ‘sesak’
Hampir 10,000 penduduk dari seluruh Kelantan, menghadiri Ceramah Penerangan Nasional Isu-Isu Semasa, Islam, Melayu dan Raja di dataran Stesen Keretapi Pasir Mas, malam kelmarin.
PASIR MAS – Hampir 10,000 penduduk seluruh Kelantan memenuhi Dataran Kereta Api Pasir Mas, sempena Majlis Penerangan Nasional Melayu Islam, di pekarangan Stesen Kereta Api Pasir Mas, malam semalam.

Majlis anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ini, dihadiri Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri dan Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali turut serta dalam majlis ini.

Azmi Ali memulakan bicara menerusi pandangannya terhadap sokongan pakatan pembangkang yang semakin menjunam.

“Rakyat kini tegas dalam memastikan negara, tidak jatuh ke tangan pemimpin yang tidak layak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya.

Sementara itu, Ibrahim Ali juga Ahli Parlimen Pasir Mas menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan bermuzakarah bagi mengeluarkan perkataan Islam dalam parti Pas.

Menurutnya, banyak tindakan dibuat pemimpin dan ahli parti Pas, bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

“Ada penyokong tegar, menganggap Pas sebagai agama mereka, sehingga sanggup melakukan apa sahaja yang diarah pemimpin parti, meskipun ia bercanggah dengan ajaran al-Quran dan hadis. “Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewajibkan ahli-ahlinya menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur 28 April lalu, sedangkan dia sendiri tidak menyertainya,” katanya.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali pula mengulas mengenai keahlian Jati kini mencapai lebih 4,000 orang.

“Jika kita mencapai jumlah 100,000 keahlian saya akan berjumpa Perdana Menteri dan menyerahkan memorandum pertama Jati. “Kita mahu menyerahkan memorandum mewajibkan pengajian agama Islam bermula di Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

0 comments:

Post a Comment