Tuesday, 8 May 2012

Ustaz Budak Tiada Hasrat Masuk Politik


                                                                                                       





SEBELUM BACA ARTIKEL DI BAWAH HAYATILAH DULU VIDEO INI.


Saya tiada hasrat masuk politik
Shamsul Zaman Sukri atau Ustaz Budak
DISEMBER lalu, Shamsul Zaman Sukri atau Ustaz Budak tiba-tiba menjadi perhatian apabila kenyataannya disalah erti dan video rakaman ceramahnya di Johor, tiga tahun lalu disebar dengan meluas.
Beliau disalah anggap dan dikatakan menyamakan alim ulama termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi.

Biarpun dikecam hebat akibat ‘kenyataan’ itu, namun Ustaz Budak berlapang dada menerimanya dengan hati terbuka dan menganggap isu itu sebagai dugaan daripada ALLAH dalam usahanya menyebarkan syiar Islam.
Pada wawancara bersama wartawan Sinar Harian, MOHD ZAILANI AB RAHMAN & ZUMURNI HAMZAH, penceramah bebas itu merungkai tanda tanya dan memberi penjelasan isu membabitkan soal akidah umat Islam itu.
Apa penjelasan ustaz mengenai kenyataan dikatakan menyamakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan nabi?
Ustaz Shamsul Zaman: Saya bukan menyamakan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dengan nabi, saya kata ulama itu pewaris nabi maknanya pewaris nabi adalah orang yang menggantikan nabi dan Tok Guru dijadikan contoh apabila pemerintahan dan kepimpinannya menepati sunnah nabi, namun bukannya nabi secara fizikal. Saya tidak bermaksud begitu, jika saya berbuat demikian sesatlah saya, kafirlah saya.
Pihak yang berkenaan perlu melihat dan mendengarnya secara teliti dan bukannya bersikap prejudis.
Mungkinkah kenyataan itu dikeluarkan secara tidak sengaja atau terdapat suntingan pada rakaman video itu?

Ustaz Shamsul Zaman: Saya tidak bermaksud begitu, tetapi orang salah memahaminya dan menjadikan sebagai modal politik bagi menjatuhkan Tok Guru dan menjatuhkan kredibiliti saya sebagai penceramah agama.
Saya tidak terlepas cakap, tetapi ia adalah perumpamaan. Saya percaya ia diubahsuai dan dirakam secara peribadi tanpa pengetahuan saya. Saya mengadakan kuliah agama di merata-rata tempat dalam tempoh masa lebih sejam bagi satu sesi, namun kenapa rakaman video itu tidak disiarkan secara keseluruhan dan tertumpu kepada kenyataan itu.
Bagaimana ustaz menerima ‘isu’ ini apabila ia hangat diperkatakan dan mendapat kecaman hebat pelbagai pihak terutamanya apabila ia dikaitkan dengan penyelewengan akidah?
Ustaz Shamsul Zaman: Saya mendapat tahu perkara ini daripada kawan-kawan ketika sedang belajar di Yaman dan menonton sendiri rakaman video itu melalui Internet. Walaupun agak terkejut, namun saya menerimanya dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai dugaan ALLAH malah menyokong kenyataan Tok Guru yang meminta orang ramai termasuk media meminta penjelasan saya mengenai isu ini dan bukan bertanya padanya. Bercakap mengenai akidah, jika saya bermaksud begitu, kufurlah saya...kena mengucap semula dan semua orang pun tahu... mana ada nabi selepas Rasulullah SAW.
Orang boleh katakan atau komen apa sahaja mengenai kenyataan itu memandangkan mereka tidak memahaminya dan saya bersedia memberi penjelasan mengenainya jika perlu.

Ustaz didakwa ‘diangkat’ Pas apabila dikatakan petah berceramah bercakap soal agama pada usia muda, lantaran kritikan terhadap Umno dan kerajaan.
Ustaz Shamsul Zaman: Saya tidak berpihak pada mana-mana parti politik, saya belum mengundi dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam Pas.
Tujuan utama saya adalah menyebarkan syiar Islam dan berkongsi ilmu agama dengan orang ramai, jadi tidak timbul soal memburuk atau berpihak pada parti politik tertentu cuma ia berlaku secara kebetulan apabila apa yang saya perjuangkan berjalan seiring dengan perjuangan Pas, tetapi jika Umno jemput saya berceramah, saya boleh pergi asalkan ia tidak bertentangan dengan perjuangan saya.
Secara peribadi, bagaimana ustaz melihat isu ini?
Ustaz Shamsul Zaman: Isu ini sengaja dimanipulasikan pihak tertentu bagi menjatuhkan kepimpinan Pas malah mereka turut mendakwa Tok Guru melatih rakyat Kelantan agar taksub kepadanya dan menjadikan saya sebagai contoh. Ayat ini sering diulang-ulang dan dijadikan modal ceramah politik mereka, padahal saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Ia bertujuan memburuk-burukkan kepimpinan Pas dan diri saya.

Bagaimanapun, saya tidak tertekan dengan isu ini malah lebih bersemangat menyampaikan ceramah agama di masjid-masjid di seluruh negara malah bersedia menghuraikan kekeliruan itu di depan orang ramai bagi mengelakkan ia berpanjangan.
Rakaman video itu dibuat ketika ceramah di Johor tiga tahun lalu, tetapi kenapa sekarang ia diperkatakan dan didedahkan kepada orang ramai jika mereka memandang isu akidah. Bukan isu akidah yang menjadi perjuangan mereka, tetapi menjatuhkan Pas.
Pada masa sama, saya juga tidak faham kenapa isu ini tidak dikeluarkan ketika saya berada di Malaysia, selepas saya pergi menyambung pengajian di Yaman, baru ia disebar luas dan saya tidak mampu membuat penjelasan mengenainya.
Apa perancangan ustaz pada masa depan, sama ada ingin terlibat dalam politik atau sebagainya?
Ustaz Shamsul Zaman: Selepas menamatkan pengajian saya kira-kira dua tahun lagi, saya bercadang membuka sekolah pondok di tempat kelahiran saya di Kampung Awah dalam usaha menyebarkan ilmu agama. Saya tidak berhasrat untuk terlibat dalam bidang politik kecuali keadaan benar-benar memerlukan dan terpaksa. Hasrat saya belajar agama adalah untuk membuka pondok dan berkongsi ilmu agama dengan orang ramai.

Nasihat ustaz kepada mereka yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman video itu?
Ustaz Shamsul Zaman: Saya tidak menyimpan dendam atau marah kepada mereka. Saya memaafkan mereka dan berharap orang yang terlibat itu meningkatkan ilmu agama sebelum bercakap atau mempertikaikan sesuatu berkaitan akidah, agama dan sebagainya. Jika mereka mempunyai pengetahuan agama yang tinggi, pasti kekeliruan seperti ini tidak akan berlaku.

1 comments:

  1. MOHON LINK BLOG AMBO ETEK.. PEACE.. :)
    http://bicarakelantan.blogspot.com

    ReplyDelete