Thursday 10 May 2012

Kedai makan ditutup bekalan air terputus


ALAUDIN MA
10 Mei 2012
Kedai makan 
ditutup bekalan air terputus
Kebanyakan kedai makan di sekitar kawasan ini terpaksa ditutup kerana air terputus sejak Isnin lalu.
GUA MUSANG  - Lebih 40 kedai di sekitar bandar ini terpaksa ditutup berikutan masalah bekalan air yang terputus sejak Isnin lalu.

Masalah itu berlaku pada bahagian transformer bekalan elektrik mengalami kerosakan sehingga menyebabkan air tidak dapat disedut untuk memasuki ke loji air sebelum disalurkan kepada pengguna.

Kebanyakan peniaga mengeluh dengan keadaan kesulitan yang berlaku itu hingga ada peniaga yang sanggup meneruskan perniagaan mereka dengan terpaksa membeli keperluan air dalam botol.

Tinjauan mendapati, banyak kedai yang terpaksa ditutup membabitkan kawasan Bandar Lama dan Baru hingga menimbulkan kesulitan ke­pada orang ramai untuk bersarapan pagi.

Menurut seorang peniaga kedai makan, Husin Yusof, 43, keperluan air bersih untuk kegunaan perniagaan kedai makan begitu penting bagi mengelakkan timbul masalah keracunan makanan dan sebagainya.

Dia mengakui tidak sanggup menggunakan air sungai bagi memenuhi keperluan itu berikutan air sungai berkenaan berselut dan kotor sehingga dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Peniaga itu meminta Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sentiasa mengambil langkah membuat persediaan itu supaya masalah kemudahan air paip terputus tidak berulang lagi hingga menimbulkan kerugian kepada peniaga kedai makan.

“Kalau masalah air paip itu terputus untuk sehari sahaja tidak menimbulkan masalah kepada peniaga kerana masih boleh menggunakan air yang disimpan dalam tangki, tetapi yang berlaku sekarang mengambil masa tiga hari,” katanya.

Seorang penduduk, Ismail Hassan, 56, pula berkata, pihak berkenaan seharusnya membuat penelitian semula mengenai pelbagai peralatan yang digunakan supaya masalah kerosakan yang berlaku dapat dipulihkan dalam masa yang segera.

Menurutnya, hampir keseluruhan penduduk di sekitar bandar ini terpaksa menggunakan air sungai berhampiran rumah mereka bagi keperluan mereka walaupun keadaan air sungai itu kotor dan berselut.

“Di mana lagi untuk kami mendapatkan sumber air bersih ketika berdepan dengan masalah air paip terputus itu kecuali menggunakan air sungai yang tidak terjamin dengan kebersihan itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment