Tuesday 22 May 2012

Orang Asli Gua Musang Marah Nik Aziz


ALAUDIN MA
22 Mei 2012
Kecewa tuntutan tidak dilayan
Penduduk orang asli berputih mata apabila lebih banyak tanah berhampiran
penempatan mereka dibangunkan syarikat swasta selepas mendapat
kelulusan Kerajaan Negeri.
GUA MUSANG - Masyarakat Orang Asli menyifatkan tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak mahu melayan tuntutan mereka menerusi demonstrasi secara aman pertengahan April lalu sebagai dendam politik.

Ini kerana penduduk khususnya yang tinggal di kampung pedalaman daerah ini, lebih memihak kepada Kerajaan Pusat setiap kali pilihan raya umum berikutan banyak menerima pembelaan daripada kerajaan terbabit.

Bagaimanapun, mereka menganggap Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab bagi membela nasib golongan itu, khususnya dalam menyelesaikan masalah tanah adat yang diserahkan kepada syarikat swasta untuk pembangunan ladang sawit.

Penduduk Orang Asli dari Kampung Lambok, Kuala Betis, Angah Anjang, 37, berkata, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan golongan itu kerana tidak mahu melayan segala tuntutan.

Beliau berkata, golongan itu ada hak untuk membuat tuntutan berkaitan isu tanah kerana mereka juga rakyat Kelantan walaupun dibuat menerusi demonstrasi.

“Kita tidak ada cara lain untuk buat tuntutan itu kerana sebelum ini kita ada jumpa Nik Abdul Azizi bagi membincangkan perkara berkenaan tetapi tidak dilayan.

“Oleh itu, kita terpaksa buat demonstrasi sebagaimana yang kita lakukan baru-baru di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Kota Bharu,” katanya.

Pada 15 April lalu, lebih 400 penduduk Orang Asli dari kawasan pedalaman daerah ini mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pejabat SUK Kota Bharu itu, untuk tuntut janji dibuat Kerajaan Negeri berkaitan tanah adat mereka.

Menteri Besar dalam kenyataan balas yang disiarkan akhbar 18 April lalu menyebut Kerajaan Negeri tidak akan melayan tuntutan golongan itu kerana mendakwa demonstrasi terbabit didalangi pihak luar.

Anis Kilau, 31, pula berkata, Menteri Besar Kelantan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perasaan golongan itu, seolah-olah perjuangan mereka tidak memberi sebarang erti kepada Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, Orang Asli mempunyai niat ikhlas untuk menuntut hak mereka sebagaimana yang dijanjikan Kerajaan Negeri sebelum ini yang belum ditunaikan sehingga sekarang.

“Saya fikir anggapan Nik Abdul Aziz bahawa kita mempunyai dalang daripada pihak luar mengadakan demonstrasi itu sebagai salah tanggapan dan helah semata-mata,” katanya.

0 comments:

Post a Comment