Thursday, 24 May 2012

Cadangan muzakarah Nik Abdul Aziz tidak serius


Wartawan Sinar Harian
24 Mei 2012
Cadangan muzakarah Nik Abdul Aziz tidak serius
SHARIFF MAHMOOD
GUA MUSANG - Umno dinasihati jangan mudah percaya cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bermuzakarah kerana ia tidak serius.

Pengerusi Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) Daerah Gua Musang, Shariff Mahmood berkata, sebelum ini, beberapa kali cadangan sedemikian dikemukakan, namun tiada satu dilaksana kerana bertujuan menguji sambutan pemimpin Umno sahaja.

“Kalau Nik Abdul Aziz benar-benar ingin menyatukan perpaduan orang Melayu beragama Islam, telah lama diatur program muzakarah tanpa mengenakan sebarang syarat.

Nik Abdul Aziz dalam kenyataan terbarunya menyatakan satu lagi syarat tambahan bagi membolehkan muzakarah diadakan dengan Umno termasuk menggunakan tajuk `Kenapa Umno tolak Islam’.

Shariff berkata, Menteri Besar itu mungkin menganggap pemimpin Umno menerima bulat-bulat syarat dikenakan tanpa menilai jerat dipasang untuk menjatuhkan maruah Umno yang memperjuangkan hak orang Melayu.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz mempunyai niat tidak baik apabila mencadangkan muzakarah dengan Umno dan pelbagai helahnya untuk menimbulkan percanggahan dan sekali gus menggagalkan muzakarah.

“Nik Abdul Aziz mungkin tersepit dalam senario politik Kelantan sejak kebelakangan ini berikutan kekuatan Umno untuk menawan negeri itu semakin menyerlah dan menimbulkan idea mengadakan muzakarah di saat akhir persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya

0 comments:

Post a Comment