Sunday, 3 March 2013

Perisikan Sahkan Pertemuan Anwar-Nur Misuari

AIDCNews – 03/03/13 – Perisikan tentera Malaysia mengesahkan terdapat pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari beberapa bulan sebelum pencerobohan berlaku di Lahad Datu, Sabah.

Selain itu, agensi risikan itu dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini turut mengesahkan seorang pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan terlibat dalam mengadakan pertemuan dengan Sultan Muidzullail T. Kiram iaitu salah seorang pemerintah Kesultanan Sulu juga beberapa bulan sebelum kejadian pencerobohan berlaku.

Jeffrey Kitingan adalah bekas Naib Presiden PKR yang kini menjadi Presiden Parti Reformasi Sabah (STAR) dan pengerusi United Borneo Front (UBF), parti pembangkang untuk Sabah dan Sarawak.

Pendedahan ini mengukuhkan lagi dakwaan pihak perisikan tentera Filipina sebelum ini yang secara terbuka mengaitkan nama pemimpin pembangkang Malaysia sebagai dalang dalam insiden tersebut.

Menurut sumber perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pertemuan antara Anwar dan Jeffrey dengan Nur Misuari dan pihak MNLF serta wakil Kesultanan Sulu dipercayai ada kaitan dengan janji-janji tertentu sehingga mendorong kumpulan yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu menceroboh Sabah.

“Memang berlaku pertemuan antara Anwar dengan Nur Misuari dan antara Jeffrey dengan salah seorang pemimpin Kesultanan Sulu.

“Ia dipercayai berkait dengan beberapa janji yang ditawarkan pihak pembangkang, “katanya.

Nur Misuari dinamakan oleh media Filipina, Inquirer News, sebagai salah satu pihak yang telah berkonspirasi dengan pemimpin politik pembangkang dari Malaysia untuk menghasut Sultan Sulu menuntut hak mereka.

Pada 14 Februari lalu, agensi berita antarabangsa, Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai tinggi tentera Filipina mendakwa pencerobohan kumpulan bersenjata itu berlaku atas jemputan pemimpin pembangkang di negara ini.

Lapor Reuters, kumpulan seramai 150 orang diketuai oleh Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzumuddie itu mendarat di Lahad Datu bagi membincangkan isu tuntutan tanah ekoran jemputan pemimpin pembangkang, namun segera dinafikan Anwar dengan mendakwa kenyataan itu adalah tohmahan UMNO semata-mata.

Selain Reuters, The Manila Times menerusi koresponden mereka, Al Jacinto juga mendakwa, pencerobohan tersebut ada kaitan dengan janji pembangkang di Malaysia untuk memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika berjaya membentuk kerajaan kelak.

Sementara itu, Jeffrey ketika dihubungi Mingguan Malaysia menafikan beliau adalah individu yang dimaksudkan oleh perisikan tentera Filipina itu tetapi mengakui ada mengadakan pertemuan
dengan Raja Muda Kesultanan Sulu pada Julai dan September tahun lepas.

“Yang datang Sabah bulan Julai tahun lalu ialah Raja Muda Sulu. Dia datang untuk menjemput saya hadir ke pertabalan beliau sebagai Sultan Sulu di Pulau Jolo dalam bulan September tetapi saya tidak dapat hadir.

“Dia adalah kawan saya dan menentang pencerobohan,” katanya.



0 comments:

Post a Comment