Tuesday 12 March 2013

Update Ops Daulat Kerajaan Umum 3 Bantuan


LAHAD DATU: Kerajaan hari ini mengumumkan tiga bantuan untuk penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa bantuan itu ialah pemberian bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.
Bagi pembinaan semula, Muhyiddin berkata penduduk boleh memilih sama ada menerima bantuan itu atau berpakat dan berbincang dengan pemimpin setempat untuk berpindah ke satu lokasi dan kerajaan akan membina projek perumahan rakyat.

"Kerajaan sedar dengan Op Daulat yang berjalan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan biasa dan pencarian nafkah kerana kebanyakan penduduk terlibat tinggal di kawasan zon merah.

"Disebabkan mereka tidak boleh keluar bekerja dan rumah mereka musnah atau rosak dalam Op Daulat ini, kerajaan bersetuju selepas bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi bantuan kepada mereka," katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Cenderawasih, Felda Sahabat, di sini, hari ini.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment