Sunday 24 March 2013

Veteran Umno Kelantan gerak jentera di 30 Dun

BACHOK - Majlis Veteran Umno Kelantan akan mula menggerakkan jenteranya di 30 daripada jumlah 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang berpotensi menang, sehingga hari pembuangan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak berkata, Dun berkenaan majoritinya terletak di Gua Musang, Jeli, Machang, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Bachok.

"Jika tiada sabotaj sesama sendiri kawasan itu akan menjadi milik Barisan Nasional (BN)," katanya pada majlis pelancaran gerak kerja menampal 100,000 poster 'Keluargaku Pengundi Barisan Nasional' peringkat negeri oleh Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin di Pangkalan Petah di sini hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 penduduk kampung termasuk Timbalan Ketua Umno Bachok, Datuk Dr Ilias Hussain.

Rozali yang juga mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, andaian itu bukan mustahil berasaskan sambutan rakyat di kawasan berkenaan sangat positif pada setiap ceramah yang diadakan BN.

Beliau berkata, sokongan lebih terselah terhadap barisan kepimpinan yang mantap dan lebih berwibawa melalui Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Awang Adek manakala PAS hanya bergantung kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, pihaknya mempunyai 3,000 keanggotaan di setiap Dun berkenaan iaitu satu pertiga daripada 800,000 pengundi di Kelantan.

Mengenai poster berkenaan Rozali berkata setiap anggota dikehendaki menampal poster di dinding rumah masing-masing untuk menyatakan sokongan teguh terhadap BN.

Katanya, ia juga akan memberi isyarat kepada anggota Pas yang melancarkan kempen dari rumah ke rumah bahawa mereka tidak perlu mengunjungi rumah terbabit kerana kesemua anggota di dalamnya merupakan penyokong kuat Umno dan BN. - Bernama

0 comments:

Post a Comment