SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beberapa pihak termasuk pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengaitkan beliau dengan insiden pencerobohan sekumpulan rakyat Filipina ke atas Lahad Datu, Sabah sejak awal bulan lalu.
Katanya, meskipun beliau mengenali beberapa pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), ia tidak bermaksud bersengkongkol menimbulkan huru-hara dalam negara, jauh sekali untuk menjemput mereka membuat onak dan menceroboh kawasan perairan negara untuk menuntut kembali Sabah.
“Kalau tanya saya apakah kenal dengan tokoh-tokoh, pemimpin-pemimpin pejuang Islam atau militan Islam di Filipina? Saya kenal, DS Najib menemui mereka, dalam pemerintahan dulu kita menemui untuk membuat rundingan.
“...Nur Misuari yang sekarang ketua MILF itu pernah menjadi gabenor Mindanau, dan saya diminta membuat lawatan, jadi saya menemui beliau, kenal beliau tidak timbul.
“...sama juga Jeneral Murad, sekarang mengetuai kumpulan MILF yang berunding dengan pemerintah Filipina, Datuk Seri Najib sendiri dan Kerajaan Malaysia untuk melakukan rundingan dan pendamaian di Selatan Filipina,” katanya dalam satu rakaman temu bual bersama Tv Selangor, hari ini.
Anwar juga menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat yang mahu mengalih pandangan rakyat daripada kelemahan dan kezaliman kerajaan kerana gagal mengatasi isu keselamatan terbabit.
“Saya dikaitkan dengan perkembangan terbaru ini (pencerobohan Lahad Datu), ia hanya suatu cara pimpinan Umno berdalih mengelak daripada dipersoalkan oleh rakyat mengapa mereka gagal,” tegasnya.
“... ia menunjukkan kelemahan kita, blog Umno mengatakan, ini satu lagi kerja Anwar, dengan kelompok ekstremis Islam pun Anwar, dengan Israel pun Anwar, dengan Amerika pun Anwar dengan India Hindu pun Anwar, dengan Cina pun Anwar,” tegasnya.
Susulan tuduhan tidak berasas itu, Anwar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya pimpinan Umon dan BN masih berdegil dan terus mengaitkan beliau dengan pencerobohan itu yang telah meragut tujuh nyawa anggota polis tempatan sehingga hari ini.
“Saya hanya menunggu tuduhan yang nyata dan saya akan ambil tindakan setelah berbicara dengan barisan peguam insya-ALLAH,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan sikap kerajaan yang lambat mengambil tindakan terhadap sekumpulan penceroboh asing yang telah menawan sebahagian wilayah Lahad Datu dan kini merebak ke bahagian Semporna.
Malah beliau menegaskan isu terbabit tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia melibatkan keselamatan negara yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi mengelakkan ia berulang lagi pada masa depan.
“Agak aneh apabila Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan begitu lambat sekali memberikan reaksi seolah-olah wilayah Lahad Datu, Sabah itu boleh dikepong oleh tentera asing atau kelompok asing dan kita tak berupaya berbuat apa-apa.
“...kita tidak boleh tolak ansur dengan mainan politik licik yang dimainkan oleh pimpinan Umno dalam hal ini, mereka gagal mengawal keamanan, mereka gagal menyelesaikan isu ini dengan baik dan hanya mampu menyindir,” katanya.
Sunday, 3 March 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment