Sunday 2 February 2014

Umno Kelantan Bantu 4 Beradik Bersekolah

alt
Foto: Bernama
 
KOTA BHARU 2 Jan - Umno Kelantan akan membantu empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden untuk meneruskan sesi persekolahan mereka di negeri ini.
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau akan bertemu Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Kelantan Hussain Awang bagi membincangkan perkara itu.
 
"Saya yakin JPN akan membantu sebaik mungkin. Mereka (JPN) boleh datang berjumpa anggota keluarga untuk bincang dan pastikan adik-beradik ini ditempatkan di sekolah yang bersesuaian," katanya selepas melawat empat beradik itu di Kampung Wakaf Tok Wali, Peringat di sini hari ini.
 
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata beliau yakin kerajaan Persekutuan akan membantu sebaik mungkin bagi membawa ibu bapa kanak-kanak berkenaan pulang ke tanah air.
 
"Kita amat gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan Kementerian Luar yang begitu prihatin dengan nasib yang menimpa kanak-kanak ini.
 
"Kita mendoakan segala-galanyanya berjalan lancar di sana (Sweden) dan turut mendoakan ibu bapa kanak-kanak ini dapat kembali untuk bersama dengan anak-anak mereka," katanya.
 
Empat beradik itu, Aishah Azizul Raheem, 14, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba pukul 7.04 pagi semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke kampung ibunya di Kota Bharu.
 
Mereka kini dijaga ibu saudara mereka, Shaleena Norshal.
 
Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Dis lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.
 
Sementara itu, di BESUT, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan memastikan keempat-empat beradik berkenaan tidak berdepan masalah dalam mendapatkan pendidikan di negara ini.
 
"Sesuai dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang memberi peluang belajar kepada semua, saya memberi jaminan yang mereka tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk meneruskan belajar di negara ini sekiranya mereka mahu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Besut di Dataran Kuala Besut hari ini.
 
Bagaimanapun, beliau berkata keluarga empat beradik itu perlu mengemukakan permohonan serta berbincang dengan KPM terlebih dahulu bagi mengetahui status pendidikan mereka sebelum kelulusan diberi.    
 
Mengulas kedudukan jawatan ibu kanak-kanak terbabit, yang mengambil cuti tanpa gaji semasa ditahan, Idris berkata KPM akan melakukan semakan sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sentiasa memantau situasi pelajar Malaysia yang terbabit dengan pergolakan di luar negara seperti di Mesir dan Syria bagi memastikan mereka selamat serta dapat belajar dengan baik.

0 comments:

Post a Comment