Sunday 9 February 2014

Polis Rakam Keterangan Pemain T-Team

MARANG - Polis Terengganu telah merakam 17 keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, pada 1 Februari lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, kesemua mereka yang dipanggil adalah di kalangan pemain dan pegawai pasukan T-Team yang berada ketika insiden itu berlaku.

Katanya hasil keterangan itu diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

"Bagi pengadu dan saksi kejadian yang berada di Terengganu kita telah panggil bagi merakamkan percakapan mereka sebaik menerima laporan daripada pemain serta pengurusan pasukan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Unit Ronda Bermotosikal, di sini, hari ini.

Jamshah berkata selain merakamkan keterangan, pihaknya turut menerima empat laporan polis berhubung kejadian itu.

Pada perlawanan pusingan kedua Piala FA ketika T-Team menentang Johor Darul Takzim (JDT), kekecohan berlaku di terowong stadium ketika pemain menuju ke bilik persalinan.

Pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagiazzo mendakwa dikasari ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.

Selepas laporan polis dibuat, insiden itu semakin meruncing apabila pemain pertahanan T-Team, Irfan Ghani membuat sidang media di Johor Baharu bagi menyangkal dakwaan itu.

Kejadian itu juga menyebabkan lembaga disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia memberi kemenangan percuma 3-0 kepada JDT apabila T-Team enggan meneruskan permainan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment