Friday 7 February 2014

Pas Kelantan Boikot Tapi Hantar Jentera Ke Kajang

AHMAD Yakob menandatangani plak perasmian pada Majlis Solat Hajat dan Peletakan Batu Asas Kompleks Ma'ahad Sains Tok Guru di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Asma Hanim Mahmood

KOTA BHARU 6 Feb. - Badan Perhubungan Pas Kelantan bersedia menghantar jentera membantu kempen pilihan raya pakatan pembangkang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang walaupun ada di antara petugas parti itu mahu memboikotnya.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan menyusun jentera menyertai kempen PRK DUN Kajang sebaik sahaja pengisytiharan pertandingan dibuat.

"Pas Pusat sudah memutuskan kita akan membantu (kempen pakatan pembangkang) pada PRK DUN Kajang jadi kita akan bantu.

"Kita akan beri galakan supaya jentera kita pergi tetapi jika mereka tidak mahu kita tidak dapat buat apalah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat dan Peletakan Batu Asas Kompleks Ma'ahad Sains Tok Guru di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Semalam, mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa PRK DUN Kajang akan diadakan pada 23 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac ini.

PRK DUN Kajang diadakan selepas penyandangnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi berkenaan.

Tindakan PKR yang membelakangi sekutunya dalam pakatan pembangkang telah menerima kecaman daripada pelbagai pihak malah Pemuda Pas Selangor pada peringkat awal dilaporkan secara terbuka mengancam akan memboikot sebarang kempen pilihan raya kecil akibat peletakan jawatan tersebut.

Bagaimanapun, kelmarin, Pas Pusat membuat keputusan akan membantu PKR bagi mempertahankan kerusi DUN Kajang tetapi menegaskan, bantuan yang diberikan oleh parti itu adalah atas semangat kerjasama dalam pakatan pembangkang dan tiada kaitan dengan kedudukan Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berkata, pembinaan Ma'ahad Sains Tok Guru yang bernilai RM12.974 juta ringgit di kawasan seluas 4.85 hektar itu adalah kesinambungan pendidikan yang menggabungkan dua bidang iaitu agama dan sains.

Beliau berkata, sekolah berasrama penuh yang turut dilengkapi masjid, dewan serbaguna dan pusat kokurikulum itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi dan pengambilan pertama pelajar seramai 300 orang dijangka pada 2016.

"Setakat ini kita sudah ada sembilan sekolah Yayasan Islam Kelantan yang mempunyai kelas aliran sains yang merupakan hasil cetusan idea bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau lebih dikenali dengan Tok Guru.

"Gelaran Tok Guru kita abadikan pada sekolah baharu ini sebagai mengenang jasanya," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140207/po_06/Pas-Kelantan-sedia-hantar-jentera-bantu-kempen-pembangkang#ixzz2saUy9FHa 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment