Tuesday 11 February 2014

Pemain, pengurusan T-Team Bersumpah

KUALA TERENGGANU - Penolong jurulatih dan seorang pemain pasukan T-Team bersumpah dengan al-Quran semalam bagi membuktikan kebenaran berhubung insiden dalam terowong yang berlaku di Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.
Upacara angkat sumpah itu berlangsung di Hotel Tabung Haji di sini sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri yang juga Pengurus T-Team, Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menjadi saksi pertama yang mengangkat sumpah sebelum diikuti oleh seorang pemain tengah T-Team, Khairan Izuan Razali yang turut berada dalam terowong berkenaan ketika kejadian itu berlaku.
Dalam akuan tersebut, Azlan dan Khairan Izuan bersumpah mengatakan mereka berada dalam keadaan sedar dan waras ketika kejadian itu berlaku dan melihat sendiri bagaimana pemain import T-Team, Evaldo Goncalves ditumbuk di bahagian muka.
Majlis yang berlangsung kira-kira pukul 10 malam itu turut disaksikan oleh semua pemain T-Team dan Terengganu serta pihak pengurusan untuk kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, kelibat pemain pertahanan kontroversi T-Team yang juga bekas pemain Johor Darul Takzim, Mohd. Irfan Abdul Ghani tidak kelihatan dalam majlis berkenaan kerana dipercayai masih berada di Johor.
Sementara itu, Ahmad berkata, beliau tidak menganggap perbuatan mengangkat sumpah itu sebagai menghina kesucian agama Islam.
"Upacara bersumpah ini sebenarnya bertujuan membuktikan dakwaan yang dibuat itu benar, sekali gus menafikan tohmahan bahawa T-Team sengaja mengada-adakan cerita tentang kejadian tersebut.
"Jika Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu mengangkat sumpah, itu terpulang kepada mereka. Yang penting melakukan perkara yang sepatutnya kita buat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad mencabar Mohd. Irfan supaya tampil untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan dakwaan bahawa kejadian dalam terowong itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Saya sanggup beli tiket 'flight' untuk dia datang ke mari jika dia sanggup bersumpah," katanya.

0 comments:

Post a Comment