Monday, 12 January 2015

kembali ke sekolah walau tidak berseragam - Gembira

Guru, Salmah Ismail (berdiri) memulakan sesi pembelajaran pertama untuk tahun 2015 bersama pelajar yang hadir memakai pakaian biasa tanpa uniform sekolah.

PASIR MAS - Hari pertama penggal persekolahan 2015 bermula semalam selepas ditangguhkan selama seminggu memberikan suasana yang berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Jika sebelum ini setiap kali hari pertama para pelajar akan melangkah ke sekolah dengan uniform, kasut dan beg baharu tetapi kali ini tidak semua dapat merasainya.

Banjir luar biasa yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini menyebabkan beberapa buah sekolah serta kawasan di sini turut terkena tempias musibah berkenaan.

Tidak patah semangat

Musibah banjir yang hampir melumpuhkan jajahan ini sedikitpun tidak mematahkan semangat murid untuk memulakan sesi persekolahan apabila ada diantara mereka yang datang ke sekolah tanpa memakai uniform dan hanya berbaju-T serta seluar trek.

Mereka tidak segan berbuat demikian walaupun ada rakan-rakan yang lain hadir dengan seragam lengkap kerana tidak mahu melepaskan hari pertama sesi persekolahan.

Gembira dapat kembali ke sekolah

Meskipun rumah ditenggelami banjir, seorang pelajar Rabiatul Adawiyah Mansor, 11, ketika ditemui berkata, dia gembira dapat hadir ke sekolah walaupun hadir dengan pakaian biasa.

Katanya, dia sedikit terkilan tidak dapat memakai pakaian seragam sekolah berikutan ia tidak dapat disiapkan akibat banjir besar melanda jajahan ini.

“Rumah saya, air naik sehingga paras dada, dan kami terpaksa tinggal di pusat pemindahan menyebabkan kelengkapan persekolahan tidak dapat disediakan seperti biasa.

“Ibu baru menghantar kain untuk dijahit baju sekolah dan ia belum dapat disiapkan lagi,” katanya.

Pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Lemal itu berkata, dia sudah bersedia untuk memulakan persekolahan dan sangat merindui rakan-rakan sekelas selepas cuti sekolah yang panjang.

Pakaian seragam rosak ditenggelami banjir

Mohd Syamir Fikri Shaari, 11, berkata, dia sedikit terkilan apabila baju sekolah baharu miliknya tidak berjaya diselamatkan semasa air menaiki rumahnya di Kampung Kubang Panjang.

“Saya hanya sempat menyelamatkan kasut dan beg sahaja ketika itu. Walaupun sedih mengenangkan baju sekolah yang baru dibeli itu telah rosak tetapi saya tetap bersemangat untuk ke sekolah hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, dia sama sekali tidak kisah walaupun tidak dapat memakai uniform asalkan boleh hadir dan belajar di sekolah sama seperti mana rakan-rakan yang lain.

Dia turut bersyukur kerana sekolah serta peralatan dalam bilik darjahnya tidak rosak teruk walaupun sekolah tersebut turut ditenggelami air sehingga paras peha dan menyebabkan lumpur memenuhi kawasan  itu.

Bangga dengan semangat pelajar

Sementara itu, Guru Besar SK Lemal, Zakaria Sulaiman berkata, dia dan guru-guru merasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua pelajar.

“Walaupun mereka telah melalui saat-saat yang genting semasa banjir baru-baru ini namun mereka kelihatan gembira dan bersemangat memulakan persekolahan pada hari pertama.

“Ini boleh dilihat apabila boleh dikatakan hampir 90 peratus daripada mereka hadir memakai uniform sekolah dan ia menunjukkan kesungguhan pelajar untuk memulakan sesi baru persekolahan,” katanya.

Menurutnya, walaupun sekolah turut ditenggelami air banjir dan dipenuhi lumpur tetapi pihak sekolah telah melakukan kerja pembersihan lebih awal.

Beliau berkata, ia turut dibantu oleh ramai pihak yang sanggup bermandi peluh membersihkan kawasan serta kelengkapan sekolah yang dipenuhi lumpur.

Katanya, pihak sekolah sangat berterima kasih kepada pihak yang telah sudi membantu antaranya bomba dan penyelamat Pasir Mas, Ikram Muar, Universiti Muar Terengganu (UMT), Institut Perguruan Pulau Pinang, YTL dan ramai lagi.

Syukur sesi persekolahan berjalan seperti biasa

Bagi ibu bapa pula, rata-rata mereka lega melihat anak-anak begitu bersemangat untuk hadir ke sekolah dan sanggup bangun awal pagi.

Ibu bapa, Rasyid Md Noor, 42, berkata, walaupun suasana tidak seperti tahun sebelumnya namun sebagai bapa dia berharap anak-anaknya akan mengikuti persekolahan seperti biasa walaupun dalam serba kekurangan.

“Ilmu penting dan kekurangan yang ada diharap dapat memberikan kematangan serta pengalaman yang berguna kepada mereka.

“Sebagai ibu bapa kami akan terus memberikan dorongan kepada anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

0 comments:

Post a Comment