• Ahmad menyempurnakan majlis meletakan batu asas projek, yang juga tapak pembinaan rumah untuk Razali bersama sembilan ahli keluarga di Kampung Temian, semalam.Ahmad menyempurnakan majlis meletakan batu asas projek, yang juga tapak pembinaan rumah untuk Razali bersama sembilan ahli keluarga di Kampung Temian, semalam.
 1 / 1 
KUALA KRAI - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengakui, beliau mempunyai maklumat berhubung aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan secara haram di Kelantan.

Bagaimanapun Ahmad berkata, pihaknya kini dalam proses mengumpulkan fakta secara tepat berhubung situasi sebenar di kawasan terbabit sebagaimana yang didakwa.

Menurutnya, beliau sendiri memantau perkara itu supaya satu gerak kerja dapat dibuat untuk tindakan lanjut termasuk mengemukakan kepada Majlis Perhutanan Negara.

“Sekarang ini, kita ketepikan dahulu (fokus kepada bantuan banjir), kita pun ada maklumat, kita sendiri cari maklumat dan saya sendiri naik (melakukan tinjauan) helikopter dan tengok.

“Kita sentiasa bertanggungjawab, kita mahu secara fakta supaya kita dapat bina gerak kerja baharu,” katanya selepas merasmikan Majlis Peletakan Batu Asas Rumah Kekal-Pasca Banjir Perumahan Rakyat Budiman di Kampung Temian di sini, semalam.

Ahmad mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan beliau mempunyai bukti berhubung aktiviti pembalakan haram dan penerokaan hutan yang didakwa menjadi punca Kelantan dilanda banjir terburuk, baru-baru ini.

Ahmad memberitahu, aktiviti pembalakan turut didakwa berlaku di Gua Musang dan sedang dalam perhatian kerajaan negeri menerusi Task Force yang diwujudkan.

“Buat sementara waktu, tidak ada aktiviti pembalakan. Kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja memulihkan kembali Kelantan selepas dilanda banjir besar baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir Kelantan berkata, penempatan semula mangsa banjir mendapat kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Majlis Keselamatan Negara akan mengumumkannya.

“Kerajaan akan membuat kajian menerusi Task Force, supaya tidak ada mangsa banjir tercicir dan setakat hari ini (semalam) di Kuala Krai, kira-kira 1,328 rumah rosak, tidak boleh digunakan serta hanyut yang kemungkinan jumlah ini meningkat lagi,” katanya.

Beliau berkata, selain peruntukan RM6 juta daripada Kerajaan Selangor untuk membantu penduduk di Kuala Krai, kerajaan negeri juga akan memulakan secepat mungkin pembinaan 21 rumah supaya mangsa banjir dapat memulakan semula hidup mereka dengan semangat baharu.

Dalam masa yang sama, 100 lagi khemah sementara dibina di Kem Rejimen 506 Sungai Durian di Kuala Krai berikutan terdapat mangsa banjir yang masih belum mempunyai tempat tinggal.

Ahmad turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat membina penempatan untuk mangsa banjir, namun  mesti mengikut spesifikasi ditetapkan.

Sementara itu, Razali Hassan adalah penerima pertama Rumah Kekal-Pasca Banjir Perumahan Rakyat Budiman selepas kediamannya di Kampung Temian, dihanyutkan arus deras.