Monday 12 January 2015

Agihan RM500 kepada mangsa banjir di Kelantan berdasarkan tiga kategori

KOTA BHARU (JAN 11): Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Kelantan berkata, agihan fasa pertama bantuan kerajaan sebanyak RM500 akan diberi kepada mangsa banjir di negeri ini yang berpindah ke pusat pemindahan yang digazetkan.
Fasa berikutnya melibatkan mangsa yang berpindah ke rumah sanak saudara atau pusat pemindahan yang tidak digazet, serta kumpulan yang tidak berpindah tetapi terkepung oleh banjir.
Senarai nama mangsa banjir yang dimuktamadkan pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan dikemukakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selewat-lewatnya 16 Jan dan akan dipamer di Pejabat Tanah dan Jajahan atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk semakan, kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.
Mana-mana mangsa banjir yang tercicir daripada senarai itu boleh mengemukakan rayuan untuk dipertimbang menerima bantuan ihsan itu, menurut kenyataan itu.
Semalam, mesyuarat jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Sementara itu, jawatankuasa itu memutuskan senarai rumah yang musnah sepenuhnya akibat banjir hendaklah disediakan melalui perbincangan pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Ia menarik perhatian bahawa tiga jenis penempatan akan dilaksanakan iaitu penempatan serta-merta di bawah MKN serta penempatan sementara dan pembinaan rumah kekal oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) atau badan bukan kerajaan (NGO).
Pembinaan rumah kekal akan diseragam dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik untuk keselesaan mangsa.
Setakat ini, 2,677 rumah dikenal pasti musnah sepenuhnya akibat banjir yang melanda negeri ini bulan lepas.
Rumah yang rosak tetapi boleh dibaiki akan dikenal pasti oleh Pejabat Jajahan manakala jawatankuasa berkenaan akan menentukan bentuk bantuan kepada mangsa. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment