Friday 30 January 2015

Pelajar naik helikopter ke sekolah


Pelajar Orang Asli di kawasan pedalaman menaiki helikopter untuk ke sekolah.
GUA MUSANG  - Kira-kira 500 pelajar Orang Asli membabitkan beberapa pos di pedalaman daerah ini terpaksa dibawa menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat, sejak dua hari lalu, untuk ke sekolah di bandar ini.
Dua helikopter digunakan bagi tujuan itu, dengan setiap satunya boleh memuatkan 30 pelajar untuk satu perjalanan bagi mempercepatkan pemindahan mereka yang hampir sebulan tidak dapat ke sekolah.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Hasnan Hassan berkata, langkah itu bagi mengelakkan pelajar di beberapa sekolah menengah sekitar bandar ini tercicir persekolahan akibat terputus perhubungan jalan darat.

Menurutnya, pelajar terbabit diambil di setiap pos dan helikopter mendarat di Padang Pusat Sivik, sebelum mereka dihantar ke sekolah menengah terbabit dengan bas dan tinggal di asrama.

Katanya, antara pos Orang Asli terbabit ialah Pos Balar, Hau, Belatim, Simpor, Tohoi, Gob, Kampung Jader dan Kampung  Dang Dut.

“Sekolah menengah yang menempatkan mereka ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku, SMK Tengku Bendahara dan SMK Tengku Indera Petra 2,” katanya kepada pemberita di Pos Balar, dekat sini, petang kelmarin.

Hasnan berkata, persekolahan mereka tertangguh sejak dua minggu lalu disebabkan jalan ke kampung terbabit terputus hubungan berikutan banjir buruk, akhir Disember lalu.

"Jakoa bekerjasama dengan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menyelesaikan masalah anak Orang Asli yang tidak dapat ke sekolah.

"Kita komited mahu meningkatkan kecemerlangan pelajar anak Orang Asli dan memberi persaingan kepada pelajar kaum lain khususnya membabitkan persekolahan di sekolah menengah," katanya. -SINAR

0 comments:

Post a Comment