Tuesday 20 January 2015

Najib: Kemusnahan infrastruktur akibat banjir hampir RM2.9 bilion


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini telah mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dengan anggaran mencecah hampir RM2.9 bilion.
Beliau berkata, musibah banjir luar biasa yang melanda beberapa buah negeri di pantai timur dan utara Semenanjung antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak, serta sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak, melibatkan sekitar 400,000 mangsa.
Dengan ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta, sebagai bantuan permulaan untuk kerja-kerja baik pulih dan program kebajikan mangsa banjir, tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menjadikan jumlah keseluruhan RM787 juta.
Sebagai peruntukan awalan, kerajaan juga menyediakan RM800 juta untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan.
"Antara tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan kepada mangsa banjir adalah membina rumah-rumah kampung bertiang setinggi lapan kaki yang telah musnah akibat banjir kepada mereka yang mempunyai tanah sendiri.
"Selain itu, menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang," katanya dalam perutusan khas tentang Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di sini hari ini.
Najib berkata, kerajaan juga menyediakan RM893 juta kepada Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir.
Selain itu, kerajaan memberi bantuan RM500 bagi setiap keluarga yang terlibat dan menghulurkan sumbangan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan anggota keluarga.
Sementara itu, Najib berkata Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Special Relief Facility (kemudahan bantuan khas), berjumlah RM500 juta untuk menyediakan pembiayaan pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar yang lebih rendah iaitu 2.25 peratus dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan perbankan.
Bagi perniagaan yang terjejas, beliau berkata, kerajaan memperuntuk tambahan RM100 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS serta perusahaan mikro.
Selain itu, beliau berkata BSN, Agro Bank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam bulan.
Perdana Menteri berkata, Bank Rakyat juga akan menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga RM50,000 pada kadar pembiayaan serendah 3.9 peratus dan bayaran pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.
"Sejumlah RM500 juta akan disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim ini akan diuruskan oleh Prokhas.
"Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk tempoh enam bulan bagi PKS di kawasan yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment