Monday 12 January 2015

Mangsa banjir di Pahang, Perak berkurangan pagi ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang dan Perak berkurangan pagi ini manakala di Kelantan dan Johor kekal seperti yang direkodkan malam tadi dengan masing-masing sejumlah 1,843 orang dan 32 orang.
Pahang mencatatkan penurunan kepada 1,995 mangsa banjir pagi ini berbanding 3,026 malam tadi manakala di Perak pula berkurangan daripada 2,381 orang kepada 2,363 orang pagi ini.
Dengan ini, jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan seluruh negara pagi ini menurun kepada 6,233 orang berbanding 7,282 orang malam tadi.
Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Pekan menempatkan 1,222 mangsa diikuti Kuantan (440), Temerloh (311), Bera (14), Bentong (tujuh) dan seorang di Maran.
Di PERAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata sehingga kini 12 pusat pemindahan masih dibuka di empat daerah dengan Perak Tengah menempatkan 1,845 orang, Hilir Perak (357), Manjung (124) dan Hulu Perak (37).
Di KELANTAN, jurucakap MKN Kelantan berkata jumlah mangsa yang direkodkan di jajahan Kuala Krai ialah 1,016 orang, Gua Musang (674), Tanah Merah (93) dan Machang (60). - BERNAMA  11:36 AM

0 comments:

Post a Comment